Tuesday 29 January 2013

UNTUKMU YANG KU NANTI..........

Sudah banyak SMS yang telah  abang hantar kepadamu atau mungkin beribu, tapi kau masih tetap juga membisu. Dan sudah beratus juga SMS itu abang simpan dalam buku catatan kerana abang bercita-cita untuk menjadikannya sebahagian daripada kenangan cinta, bolehlah nanti ketika berbulan madu kita mengenang semula bagaimana manisnya saat abang melamarmu. Setiap SMS yang abang kirim, abang tidak mahu berbohong – abang sangat ternanti-nanti balasan darimu. Tapi sayangnya kau terlalu sibuk, terlalu sibuk! Perlu abang ingatkan di sini, kepada diri abang sendiri dan untuk dirimu lebih-lebih lagi – janganlah terlalu mahal menjual diri sampai tak mampu dibeli nanti.
 

Januari tahun ini, telah tujuh kali abang istikharah minta petunjuk dari-Nya, adakah benar kau yang dipilih Dia untuk hidup abang yang sementara di dunia dan hidup yang lama di akhirat sana. Setelah istikharah yang abang lakukan setiap selepas Maghrib selama tujuh malam berturut-turut di bulan Januari itu, kecenderungan hati abang masih juga kepadamu – masih juga kepadamu. Mana mungkin Tuhan abang itu menipu. Abang sebenarnya masih menanti kebenaran dari Tuhan setelah keputusan istikharah abang tetap juga kau seorang. Kebenaran, bahawa – hatimu akan tetap terbuka juga untuk abang.

Abang sedar, keputusan abang untuk menunggu cintamu adalah keputusan yang paling berisiko tinggi yang pernah abang buat dalam hidup abang ini. Yang mahu abang jolok adalah bulan di langit, bukan rimbunan rambutan atau setandan kelapa. Mana mungkin abang akan berhasil mendapatkannya? Tapi abang yang tetap berkeras kepala mahu menjoloknya juga, maka sekarang inilah akibatnya – hati abang juga yang akhirnya teruk terluka.

Teringat prinsip kentalmu yang masih juga seperti dulu dan sayang abang pun sebenarnya makin bertambah kerana itu – kau tidak pernah berkata mahu jika abang ajak berjumpa, kau lebih selesa berbual di laman sosial kerana kau terlalu takut timbul fitnah yang bermacam-macam. Syabas!, atas kekentalan prinsipmu sebagai seorang perempuan dan kerana keteguhan iman sebagai seorang Islam.

Izinkanlah abang berhenti di platform tak bernombor dalam hatimu. Izinkanlah abang terus berdiam lama di platform tak bernombor dalam hatimu itu. Abang tahu, sesiapa saja mahu berhenti di situ kerana ianya tidak bernombor dan juga tidak berpintu. Platform yang tak bernombor dalam hatimu itu terlalu manis dan indah bagi abang. Abang sebenarnya sangat bahagia jika diizinkan menghuni di situ sampailah ke akhir hayat abang. Dan yang telah sekian lama abang tunggu hanyalah keizinanmu.

Abang sebenarnya sedang berusaha mengumpul ilmu untuk keutuhan pernikahan kita – menjual khidmat, menulis untuk pelbagai medium dan hamparan, mengusahakan tanaman kasih sayang dan mengambil tempahan menyiapkan lirik serta teks muhasabah diri atas permintaan kawan-kawan. Menjadi pengacara majlis, mendeklamasikan sajak, mengajar anak-anak tentang seni,sastera dan hati, berceramah dan membentangkan kertas kerja. Dan abang tidak meminta bayaran untuk semua itu. Ini semua  abang lakukan untuk mengumpulkan ilmu pengetahuan buat kebahagiaan perkahwinan kita yang entah bila, yang entah jadi entahkan tidak sebenarnya – buat membahagiakan dirimu seadanya. Segala macam kerja yang mampu abang buat dengan kederat kerdil abang ini,  abang lakukan. Segala yang boleh memberikan ilmu untuk kebahagiaan kita, abang lakukan berbekalkan sedikit kepandaian yang dianugerahkan Tuhan.

Abang bercita-cita mahu membelimu dengan mas kahwin beribu, walaupun barangkali ramai yang akan beranggapan abang mungkin tidak mampu. Tentu ramai yang bakal berkata, seorang penglipurlara sepenuh masa seperti abang mana mungkin menyediakan wang hantaran untukmu sebanyak itu. Sejak dulu abang memang tidak pernah percaya dengan kata-kata manusia. Kerana yang abang percaya tetap juga seperkara, bahawa setiap rezeki kita makhluk yang bernyawa adalah di tangan-Nya. Dan Dia jugalah yang menetapkan rezeki hamba-Nya. Yang paling utama, kita mesti berusaha – pasti akan diberi-Nya. Nanti, sesudah berumahtangga kita akan menyewa di mana-mana dan abang boleh terus melakukan kerja abang tanpa mengganggu kebahagiaan kita – menulis dan mencari ilmu. Dan kau buatlah kerjamu itu seperti selalu.

Abang mengaku, abang tidak terdaya untuk menjadi seperti Imam al-Nawawi yang membujang sampai ke mati – hidup seorang diri tanpa isteri, hanya duduk menulis dan mengkaji. Abang memerlukan seorang isteri di sisi untuk menguatkan semangat diri bagi meneruskan perjuangan yang sukar ini. Abang telah kehilangan Norharira, abang telah kehilangan Nurfarisya Hanania dan abang tidak mahu, abang juga bakal kehilanganmu nanti – yang tinggal kini hanyalah sebatang tubuh diri abang sendiri. Dan yang ada sekarang, memang benar-benar dirimu seorang. Abang sangat takut sebenarnya, terlalu takut bahawa abang juga akan kehilanganmu kerana kini tiada lagi hawa yang akan mengubat sunyi dalam hati ini. Kalaulah kau juga gagal abang jadikan isteri, entah siapalah yang akan mengisi kekosongan hidup abang ini. Siapalah yang akan mengubat kerinduan hati abang ini. Sebagai lelaki abang sebenarnya sudah terlalu letih mencari. Abang sudah terlalu sengsara mengharapkan cinta manusia. Abang sebetulnya sudah berkali-kali kecewa.

Abang membaca buku Irfan Khairi, Nota Jutawan Nota Motivasi hampir setiap hari dan sangat meminati rancangan The Criminal Mind di AXN.  Abang juga berkali-kali membaca Pelita Jutawan oleh Azizi Ali. Selain Nota Jutawan Nota Motivasi yang sangat menginspirasi, buku Rahsia Di Sebalik Hari Yang Tujuh hasil tulisan Ass-Syaikh Al-Imam Abi Nasir Muhammad Bin Abdur Rahman Al-Hamdani juga menjadi buku yang berkali-kali abang tekuni akhir-akhir ini dan terlalu banyak yang dapat abang pelajari daripada buku yang begitu bagus ini. Abang belajar tentang ilmu pengurusan hati, tentang bagaimana mengawal pemikiran – ilmu yang tidak diajarkan di sekolah atau di pusat pengajian tinggi dalam negara ini. Abang memperhalusi semua ini demi untuk memperkukuh pemahaman peribadi buat melamarmu nanti.

Abang membaca semua jenis buku, di MPH Mid Valley atau di Borders The Curve. Sampaikan komik Mat Som karya Lat pun abang baca dan abang sempat menghabiskannya tatkala lebih sejam tersengguk terhangguk di MPH, Mid Valley itu. Tauqul Hamamah oleh Imam Ibn Hazm al-Andalusi juga sedang abang tekuni buat mengubat hati yang sudah entah berapa kali dikecewakan hawa. Abang sebetulnya mengembara seorang diri dan janganlah kau khuatiri – abang, laki-laki.
Apalah nasib diri abang ini, terlalu sukar mencari hatta seorang hawa untuk dibuat isteri. Sudah bertahun-tahun sebenarnya abang tidak pernah putus-putus bertanya diri sendiri, siapakah yang akan Tuhan beri buat diri abang ini untuk dijadikan isteri? Dan sudah bertahun-tahun juga sebenarnya abang mencari. Abang memang tidak pernah berhenti mencari, dari teduhan siling di tempat kerja hinggalah ke saat ini. Malah, ketika masih di bangku sekolah lagi. Dan kini, cintamu seorang sajalah yang abang nanti walaupun kau sebenarnya sudah memberi kata putus bahawa hatimu masih juga tertutup untuk lelaki.

Bila sudah tiba masanya hatimu terbuka dan kau masih belum punya sesiapa, maka carilah abang di teratak Puncak Jalil ini, di meja pejabat – dekat dengan Technology Park Malaysia. Tolong datang seorang diri. Abang memang masih setia menunggumu seperti selalu di pantai yang penuh kenangan ini. Tidak kisahlah hatimu terbuka lima atau enam tahun lagi pun, abang masih tetap juga di sini – seorang diri menaip coretan hati di meja pejabat ini. Abang ke mari dengan Honda jerung abang, bersama makanan atau kadang-kadang seorang diri – ke pejabat yang sunyi dan sepi ini. Abang bahagia di sini – melihat tulisan manusia, memerhati fail-fail laporan yang memanjang yang penghujungnya entah di mana, mendengar deru angin dan kicau burung di tingkap, melihat bos-bos lalu-lalang di muka pintu, merenung kelibat rakan pejabat yang juga sibuk menaip serta melihat langit luas yang tak berpenghujung. Abang juga tidak pernah lupa mencari-cari kelibat si kecil Siti yang sangat berani – dia mahu berkawan dan bermain seperti manusia. Dia hanya mahu berlari ke tengah ruang pejabat tanpa mengira dirinya adalah seekor tikus yang baru beberapa bulan cuma.

Di meja pejabat ini, abang akan asyik mengarang ilmu atau menulis isi hati di laman sesawang. Barangkali orang akan menyangka abang sedang menaip laporan yang panjang lebar kepada sesiapa, padahal mereka tidak pernah tahu abang sebenarnya sedang menyiapkan luahan atau menyudahkan coretan hati. Dan sudah berapa banyak ayat yang telah abang siapkan dalam laman abang ini, isi hati untukmu lebih-lebih lagi. Bersunyi-sunyi di sini mengembalikan abang jauh ke dalam kenangan – abang kembali teringatkan Meru. Sebuah desa di Klang yang pernah abang huni hampir setahun. Abang kembali teringatkan Mak dan Abang Shah. Abang kembali teringatkan Fatimah, Usu, Inayah, Man dan Adon. Kenangan bersama mereka begitu manis sekali dan sangat membekas di hati. Sekarang, yang tinggal untuk diri abang hanyalah meja pejabat yang sunyi dan sepi ini. Hampir setiap saat abang akan membawa diri ke sini. Bersendirian di sini memberikan abang sejuta ketenangan. Dan inilah satu-satunya cara yang dapat abang lakukan buat mengubat kelukaan hati ini kerana abang sudah tak punya siapa-siapa lagi selain diri abang sendiri.

Jangan cari abang di Twitter kerana abang belum sempat mendaftar di sana. Walaupun abang tahu ia sudah menjadi kegilaan begitu ramai manusia moden hari ini. Sampai abang rasakan seperti hampir setiap orang yang menggunakan perkhidmatan internet itu mempunyai akaun Twitter. Abang bukannya suka sangat terlalu menjual diri hinggakan begitu dikenali. Abang lebih senang begini, seadanya diri abang ini – abang lebih suka berjalan-jalan memandu kereta pergi rata-riti atau terkadang-kadang memakir kereta, melihat kenderaan melepasi palang tol, dan pernah juga abang merasa betapa seksanya tidur di dalam kereta berbulan-bulan. Abang lebih senang tidak dikenali. Abang sangat bahagia sekali jika lebih ramai yang tidak mengetahui bahawa abang ini lulusan universiti. Biarlah abang dikenali hanya sebagai seorang anak jurutera cabuk yang baru mengenal sinarNya. Kerana abang memang dibesarkan dengan percik kimpalan di meja ayah dan sisa-sisa timah yang dipatri. Abang bukan anak hartawan, jauh sekali jutawan.

Abang berkeyakinan sekali tentu benar jawapan Tuhan selepas istikharah abang yang genap tujuh kali seperti yang pernah abang lakukan dulu, maka abang akan tetap menantimu dan menunggu saat-saat indah menghuni di platform yang tak bernombor itu. Akan sampai waktu hatimu akan terbuka juga untuk abang. Abang tetap akan percaya itu dan tidak pernah putus-putus doa abang dari waktu ke waktu sehinggalah hatimu benar-benar terbuka untuk abang, “Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku isteri dan anak-anak yang menyejukkan mata hatiku dan jadikanlah aku imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.”.............................M HASIFI SAFFIA


 

1 comment:

  1. salam dari kejauhan
    semoga doamu dimakbulkan Allah...
    walau jauh..namamu tetap dihati,,,
    semoga ada jodoh,
    sayang selalu, cinta selamanya..
    INSANIWARDAH.

    ReplyDelete