Bukan riak atau takbur
menceritakan kepincangan hidup seorang lelaki tapi inilah realiti hidup
yang berlaku ke atas dirinya sekarang. Sebagai insan biasa kita tidak
terlepas dari berbuat silap, tetapi bagi aku kesilapan ini memang tiada
kemaafan. Memang cari penyakit!
Paman, seorang lelaki tua yang
usianya mencecah 70 tahun. Aku mengenalinya sebulan yang lalu. Pada mula
menatap wajahnya aku merasa kasihan, kerana hidupnya tiada siapa yang
peduli. Jalannya sudah senget sebelah. Kakinya seakan tidak mampu
memijak lantai yang rata, mungkin sakit agaknya. Kain pelikat yang
dipakainya tidak kuat diikat, hamper terlondeh. Memang dia sudah tidak
berupaya lagi…
Namun begitu dia cuba menggagahkan diri, mundar
mandir di ruang tamu tanpa hala tujuan. Tangannya sesekali berpaut di
dinding. Walau tak larat dia tetap berjalan. Mungkin ingin mengetahui
siapa aku dan ingin berbual menghilangkan bosan. Dia tidak senyum, tapi
matanya ligat memandang sekeliling. Ketahuilah, nikmat yang tuhan
berikan padanya sudah terhakis sediki demi sedikit. Kebahagiaan dan
kenikmatan dunia telah ditarik perlahan-lahan, yang ada hanya azab
dariNya.
Bila seseorang bercerita tentangnya, barulah aku tahu
kenapa dia jadi begitu. Aku terus tersentap dan malas memandang wajah
tuanya. Tiba-tiba perasaan meluat yang teramat mula timbul. Memang patut
dia dibuang dari keluaganya sendiri! Paman perlu disisihkan jika cerita
yang aku dengar itu adalah benar!
Paman… rupanya-rupanya dia
seorang kasanova di waktu mudanya. Baru aku tahu, dia juga pernah
beristeri lebih dari satu, dua & tiga… Aku tidak ambil kisah tentang
isteri no dua, tiga atau pun empat. Tetapi aku terharu dengan kisah
hidup isterinya yang pertama. Walaupun aku tidak kenal isterinya itu,
aku pasti dia juga memendam rasa dengan sikap Paman. Orang Malaysia,
bangsa Melayu… senang cerita ‘orang kita’.
Tiga puluh tahun lalu,
Paman punya isteri dan sembilan orang anak. Aku tidak tahu kisah silam
mereka, tapi hidup mereka bahagia… masakan punya anak sembilan orang.
Dalam diam Paman simpan perempuan ‘warga asing’. Lelaki segak gagah,
lelaki macho, berani, mestilah punya ramai perempuan. Tapi ‘taste’ Paman
orang seberang. Bermula detik inilah Paman tidak hiraukan keluarga. Dia
lebih utamakan orang lain dari keluarga sendiri.
Dalam diam,
Paman sanggup tinggalkan isteri, sembilan anak dan merantau ke negara
orang. Paman sanggup jual tanah pusaka dan bergadai demi perempuan.
Tinggallah isterinya terkontang-kanting menjaga anak. Bayangkan… betapa
seksanya wanita itu menyuap nasi, ubi kayu, pisang rebus, kanji tidak
bergaram ke mulut anak-anak. Kadang-kadang kerak nasi semalam disimpan
dan direndam untuk anak-anak makan. Nak jumpa beras, ikan masin jauh
sekali. Meminta belas ehsan dari jiran, adik beradik dan saudara mara
untuk sekolahkan anak. Tuhan maha pengasih dan penyayang… Kini semua
anak-anaknya berjaya.
Setelah tiga puluh tahun Paman di Negara
orang, dia pulang ke Malaysia. Dia dibuang oleh keluarga di seberang
kerana tiada berharta! Namun sukar untuk keluarganya di Malaysia
menerima dengan tangan terbuka. Malang bagi Paman, dia nayris-nyaris
tidak dihantar ke rumah orang tua. Tiada kemaafan dari anak-anak dan
juga isterinya yang hampir tiga puluh tahun hidup digantung tidak
bertali. Lelaki itu memang tidak berhati perut!
Nasib baiklah ada
seorang hamba Allah ini yang sanggup memberi makan minum. Menyediakan
tempat tinggal yang selesa untuk Paman. Membawanya ke hospital setiap
minggu memeriksa kencing manis. Terkumat kamit mulutnya bercakap dalam
bahasa Jepun, Minang, Jawa, Orang putih dan Bahasa Melayu. Itulah
kepandaian Paman. Bahasa menunjukkan bangsa. Tapi bagi Paman, pandai
bercakap dalam pelbagai bahasa adalah untuk mencari mangsa.
Aku
bukan menghina Paman, kutuk pun bukan. Tapi aku kesal lelaki yang lahir
di zaman perang Jepun tidak ada kesedaran. Sepatutnya dia menjadi idola
kepada anak-anak muda agar menjadi manusia yang berkualiti, berguna
kepada bangsa dan negara.
Aku prihatin ke atas nasib isteri
Paman. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana seorang isteri menjaga anak
seramai sembilan orang dengan tulang empat kerat. Betapa cekal dan
gigihnya dia membanting tulang. Ishhhh…. Aku hampir menitiskan airmata
bila mengenangkannya.
Aku harap Paman kembali ke pangkal jalan.
‘Kubur kata mari, dunia kata pergi’… Ingatlah, kita bukan selama-lamanya
di dunia ini. Yang kekal, yang abadi… semuanya kekal disisiNya nanti.
No comments:
Post a Comment