Tuesday 25 March 2014

Waktu Yang Sukar Menjadi Penentu....

Lebih sepurnama rasanya tidak mencoret di ruangan tinta bernama Abang Has ini..... Memang sukar menongkah arus ketika ini. Bukan tidak pernah mengalami tapi bila kembali menatapnya kembali, ia menimbulkan keresahan di hati. Masih ingat dulu tatkala menggamit impian hidup seorang diri. Bagaimana perit ketika itu menarik akar-akar di dalam lubang yang cukup dalam untuk panjat ke permukaan bumi.....

Tatkala itu juga kadangkala terpesong niat di hati bila berhadapan dengan kalajengking mahupun ular yang membelit diri. Namun setelah terpaling melihat dasar lubang yang maha dalam itu, hati kembali ke paksi matlamat yang sebenar. Segera bertaubat dan menyesali kealpaan. Berkat usaha yang tidak mengenal letih dan putus asa, akhirnya diri ni berjaya mencapai puncak yang diidamkan. Berjaya berdiri di atas permukaan bumi yang nyata setelah lama menjadi penghuni lubang hitam yang gelap tanpa cahaya.

Namun tatkala merasa lega, terlihat pula gunung yang menggapai di ufuk langit. Timbul pula rasa rendah diri walaupun telah mampu berdiri di kaki sendiri di hamparan rumput nan hijau kerana kini berdepan pula dengan gunung yang gah terbentang di hadapan mata. Maka wujudlah matlamat baru untuk mendaki gunung tersebut mencecah puncaknya pula.Hati ini berkata sedangkan lubang yang gelap mampuku lepasi, takkan gunung yang terang benderang itu tak mampu tawani.....

Aku persiapkan diri. Aku jajahi setiap perjalanan menuju ke kaki gunung itu. Aku mula mendaki dengan penuh semangat. Tapi aku lupa. Lain padang, lain lalangnya. Ku sangka mendaki gunung yang terang adalah semudah menyusuri lubang yang gelap gelita.Namun sebenarnya ia cukup menguji kekuatan hati dan mental ini tatkala mata sentiasa berdepan dengan pelbagai rintangan yang jelas dan terang. Mata yang celik di tambah hati yang mempunyai iman senipis kulit bawang ini tewas dengan ujian-ujian di lereng-lereng gunung tersebut. Dan akhirnya aku tergolek dalam kelemahan dan kelemasan sehingga kembali ke sisi lubang yang pernah ku lepasi.

Aku melonjak terkejut tatkala melihat lubang tersebut dan terus keinsafan dan kesedaran menguasai diri. Aku mengorak langkah kembali ke kaki gunung dan mula mendaki lagi. Aku menyelinap di laluan yang lain pula dengan harapan tidak akan berdepan dengan sesuatu yang membawa kealpaan. Namun sekali lagi aku tewas dalam dakapan ujian yang maha dahsyat tatkala kali ini ranting-ranting penyelewengan pula menjalar di dalam diri. Akar-akar dendam pula memaut erat di kaki ku setiap kali cuba mendaki ke puncak.Akhirnya langkah ku tersadung dengan dahan penipuan lalu kembali bergolek ke bawah. Kali ini tidak berhenti di sisi lubang tapi terus menggelongsor ke dalam lubang dan terjelepok di dalam dasar lubang seperti dulu kembali.

Kini aku kembali memanjat lubang yang gelap tanpa cahaya. Aku kembali merasa perit. dan kini aku teringat satu ucapan dari seorang guru yang kusanjung tidak lama dulu.

.....Aku pernah dilanda kebuntuan yang amat sangat ketika zaman persekolahan dulu. Ketika itu rumah sang guru menjadi temptku bermastautin. Sedang kebuntuan itu, aku bertanya pada sang guru " Cikgu, kenapa saya rasa otak saya semakin serabut cikgu? Makin dekat SPM ni makin kosong otak ni dirasakan "...sang guru hanya diam seribu bahasa. Tapi terus dia ke dapur dan menjerang tiga periuk air di dapur. Ketiga-tiganya mendidih serentak lalu dimasukkan pula setiap satunya periuk itu dengan lobak merah, telur ayam dan biji kopi. Lalu diri yang ingin mengetahui ini bertanya" Kenapa cikgu buat macam tu?", tidak juga berjawab dan beberapa minit kemudian sang guru mengeluarkan ketiga-tiga isi periuk itu ke dalam pinggan lalu menyuruh aku memegang lobak merah tersebut. Sang guru bertanya " Apa kamu rasa?", aku rasa lobak tersebut lembut. Lalu disuruh pula aku mengupas telur rebus itu. Aku mengupas dan isi telur itu masak pejal sepenuhnya. Lalu sang guru menyuruh pula aku menghirup air rendaman biji kopi tersebut. Semasa aku menghirupnya aku dapat rasakan aroma kopi yang cukup wangi dengan bauan kafeinnya.

Lalu sang guru berucap" Begitulah hidup kita ini, kita yang menentukan diri kita ini ingin menjadi apa. Adakah kita nak menjadi seperti lobak merah itu yang pada awalnya keras tetapi bila berhadapan dengan cabaran air didih itu ia terus menjadi lembut. Atau adakah kita nak jadi seperti telur yang pada luarannya saja nampak keras tetapi di dalam cair secair-cairnya,malah bila berhadapan dengan cabaran hidup seperti air mendidih itu dalamannya menjadi keras dan tidak lagi mampu mencair dalam apa jua keadaan pun. Dan adakah kita nak jadi seperti biji kopi yang bila menghadapi cabaran dari didihan air itu, bukan sahaja dirinya tidak berubah malah air didihan itu pula berubah mengikut aromanya secara keseluruhan..........."

Dan yang pasti, dari dulu sampai sekarang aku tetap memilih menjadikan diri aku seperti biji kopi tersebut. Ya! Abang Has tak mungkin dipengaruhi oleh kehidupan sekeliling, tapi Abang Has yang sepatutnya mempengaruhi semua orang di sekeliling Abang Has.......


No comments:

Post a Comment