Tuesday 15 July 2014

Titisan Airmata di Bazar Ramadhan.................

Assalamualaikum w.b.t. Setelah sekian lama Abang Has menyepi kerana disibukkan dengan urusan duniawi, akhirnya Abang Has diluangkan sedikit masa untuk mencoretkan pengalaman yang bagi Abang Has amat bermanfaat untuk dikongsi.

Bila masuk bulan Ramadhan, sememangnya menjadi rutin harian Abang Has mengambil peluang berniaga di bazar Ramadhan yang diakui menjadi tumpuan warga Malaysia tiap-tiap petang....hendaknya... Masuk ni Abang Has dah 4 tahun Abang Has meniaga kepak ayam madu hasil ciptaan sahabat yang amat hebat yang Abang Has kenal sejak 8 tahun dulu. Tahun ini Abang Has berniaga di Rawang pula setelah menjadi raja ayam madu di bazar-bazar sekitar Kuala Lumpur pada tahun sebelum ini.

Tapi bukan pasal keseronokan berniaga yang nak dikongsi kali ini. Tapi satu cerita di sebalik penat berniaga pada hari ini. Seperti biasa Abang Has akan tiba di lokasi pada pukul 2 petang setelah menghantar stok di beberapa cawangan yang sejalan dengan lokasi Abang Has beniaga. Bila sampai perkara pertama yang Abang Has buat adalah membersihkan pemanggang dan peralatan yang masih belum dicuci ketika habis berniaga semalam. Sedang Abang Has mencuci peralatan tu, Abang Has melihat seorang lelaki yang berpakaian lusuh sambil membawa beberapa beg plastik berisi pakaian(Nampak macam pakaian terpakai) sedang berjalan melintasi deretan kedai bersama dua orang kanak-kanak perempuan yang berkaki ayam.

Ketika Abang Has sedang menghidupkan arang di atas pemanggang, lelaki itu menghampiri Abang Has.Sambil tersenyum dia berkata "Susah juga ya nak bakar arang ni. Kalau tak betul caranya tak hidup baranya kan." kata dia memulakan bicara. Abang Has cuma iakan sahaja kata-katanya itu. Selepas itu dia membebel-bebel pula pada dua kanak-kanak perempuan yang membontotinya sejak tadi itu seperti seorang cikgu yang sedang menerangkan proses sains pada anak muridnya. Kenapa Abang Has cakap macam tu? Ye la..Abang Has dengar butir-butir katanya itu ada sebut perkataan 'api' la, 'oksigen' la,.....

Pastu Abang Has pun tanya siapa budak-budak tu. Dia jawab anak-anak dia.Abang Has pun teruskan kerja seperti biasa dan mengharap sangat lelaki itu dan anak-anaknya beredar cepat. " Abang tahu tak saya dapat baju ni dari pekerja-pekerja Aeon kat sana tu tadi", tiba-tiba dia buka cerita pula."Baju-baju ni walaupun bukan baru tapi boleh lagi dipakai.Cuma nak kena pilih saiz yang sesuailah kejap lagi" Abang Has cuma mengangguk.

Tiba-tiba salah seorang kanak-kanak perempuan tu menjerit kesakitan di sebelah lelaki itu. Rupanya dia terpijak bara arang yang Abang Has hidupkan tadi. Biasanya ada ketulan-ketulan kecil bara arang akan bertaburan di bawah pemanggang. Kebetulan pula dia berada terlalu dekat dengan tempat pemanggang. Dek kerana tak berkasut, maka kakinya menjadi mangsa bara arang pula. Abang Has terus mendekati kanak-kanak perempuan itu yang sedang mengaduh menahan kesakitan. Abang Has dudukkan dia di belakang van yang telah dibuka pintunya. Abang Has angkat kakinya untuk melihat keadaan."Tulah, kenapa tak pakai selipar. Kalau kaki adik ni kebal lainlah. Nasib tak luka, cuma merah je. Kejap lagi hilanglah sakit tu."Abang Has pun terus tinggalkan dia di situ bersama seorang lagi kanak-kanak perempuan dan lelaki tadi dan terus naik masuk ke kedai 2 ringgit yang berada betul-betul di belakang gerai Abang Has meniaga tu. Abang Has terus beli 2 pasang selipar yang bersaiz kanak-kanak dan terus kembali ke gerai untuk dapatkan mereka.

"Nah, pakai selipar ni.Lepas ni kalau nak berjalan pakai selipar. Jangan dibiar budak-budak ni bang. Abang selipar pakai tapi anak-anak dibiarkan macam ni", bebel Abang Has pada lelaki itu. Abang Has terus beralih menyambung kerja Abang Has dan lelaki itu juga meminta diri."Terima kasih ye. Assalamualaikum"....dia memberi salam sebelum beredar. Abang Has menjawab salamnya dan terus buat kerja tanpa menghiraukan mereka selepas itu.

Sepanjang hari itu Abang Has tak putus dikunjungi pelanggan. Lepas seorang, seorang lagi. Bila ada masa terluang sekejap, Abang Has keluarkan telefon unuk melihat jam. Dah pukul 6.30 petang. Abang Has menjenguk tong ayam, masih banyak ni. Dalam hati Abang Has berkata, hari ini pasti ayam tak habis dijual.Tapi seperti biasa juga Abang Has sentiasa redha dengan rezeki yang diperolehi setiap hari.

Beberapa ketika kemudian, seorang pelanggan lagi berkunjung ke gerai Abang Has. " Ye , bang. Nak kepak ayam ke? Satu RM1.50, tujuh RM10 bang.Abang nak berapa puluh ringgit?" Seperti ayat-ayat yang biasa Abang Has ucapkan kepada pelanggan setiap kali ada yang menyinggah.lelaki berkopiah dan berjubah putih  itu cuma tersenyum.Eh! Macam kenal je lelaki ini.Tapi di mana ya. "Kalau saya nak kepak ayam ni untuk 60 orang makan masa berbuka ni dan seorang dapat 2 ketul rasanya cukup tak?Sempat tak siap dibakar sebelum berbuka nanti?" terkejut Abang Has. Rezeki tak disangka. Apa lagi Abang Has kata bolehlah. Abang Has terus keluarkan baki ayam yang ada di dalam tong tersebut dan mula memanggang ayam-ayam itu. Sambil tu Abang Has bertanya pada lelaki berkopiah itu." Banyaknya abang beli. Ada jamuan ke?". "Taklah, saya beli ini untuk semua 60 orang anak-anak saya."

Biar betul anak sampai 60 orang.Hati Abang Has berkata-kata begitu. Lelaki itu berkata-kata lagi. Mungkin dia tengok cara Abang Has macam tak percaya sahaja." Anak-anak tu semua anak yatim piatu. Saya ambil mereka dan jaga di rumah saya sendiri. Cuma sekarang ni masih dalam proses nak dapatkan hak penjagaan dari Jabatan Kebajikan Msyarakat untuk anak-anak ini. Sebahagian besar adalah anak-anak sahabat saya yang telah meninggal dunia kerana penyakit kanser...." , cerita dia panjang lebar. Baiknya lelaki ini. Abang Has pun timbul niat macam tu jugadalam hati kecil ni. " Habis macam mana abang dapat dana untuk jaga mereka semua ini? Banyak diperlukan tu untuk makan minum diorang."" Alhamdulillah, saya masih berada di kalangan masyarakat yang suka membantu. Seperti awak yang tolong belikan selipar untuk anak-anak saya tadi." Ya Allah, Abang Has tak perasan. Lelaki berkopiah dan berjubah putih dan wangi di depan Abang Has sekarang ni adalah lelaki yang berpakaian lusuh bersama anak-anaknya yang Abang Has bersua tengahari tadi.

"Saya percaya, Allah akan bantu saya untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak ini.Buktinya apa yang awak buat tadi tu bukan kehendak awak tapi kerana Allah yang menjentik jiwa awak. Saya sangat-sangat berterima kasih dan bersyukur kerana berjumpa awak tadi. Sebenarnya dua anak perempuan tadi saya baru ambil dari seorang perempuan India yang sangat susah. Dia menjaga anak-anak tu sejak ibubapa mereka meninggal dalam satu kemalangan.Mereka tu jiran perempuan India ni. Dan boleh dikatakan semua penduduk di kawasan semak tu adalah orang yang tiada lagi saudara mara yang boleh mereka harapkan..." bila habis bicara lelaki itu, Abang Has pun telah siap menyediakan semua ayam yang diminta lalu menyerahkan kepada lelaki itu." Ambillah bang. Saya belanja." kata Abang Has. Memang tersentuh hati Abang Has. Mengenai persoalan tentang lelaki itu berpakaian lusuh pada awalnya itu, Abang Has tak ak persoalkan dan bagi Abang Has pasti dia ada alasannya yang tersendiri. "Tak apa lah, hari ini saya bayar kerana ini hajat seseorang untuk memebri makan pada anak-anak ini. Jadi saya tunaikan hajat dia dengan membawa rezeki pada tuan hari ini. Kalau tuan nak belanja, datanglah pada bila-bila masa pun.Anak-anak ini sentiasa perlukan bantuan dari orang seperti tuan ini".Dia menghulurkan duit bayaran ayam tersebut dan berlalu pergi.

Abang Has menjeling pada tong ayam di tepi, dah kosong.Allah itu Maha Mengetahui. Insyaallah esok Abang Has akan berkunjung ke rumah anak-anak itu. Abang Has nak bantu semampu yang boleh. Masa buka puasa tadi, menitis airmata Abang Has bila kata-kata lelaki itu berulang-ulang di dalam kepala Abang Has. Banyak lagi yang Abang Has tak tahu rupanya....................