Monday 4 March 2013

Cara paling berkesan mendidik anak menjadi cemerlang

Pernah satu ketika dulu Abang Has dibanjiri pelbagai soalan dari kalangan ibubapa seusai Abang Has berceramah berkenaan tanggungjawab ibubapa di sebuah sekolah rendah.

Soalan-soalan yang dikemukakan oleh mereka banyak berkisar kepada cara dan teknik mendidik dan membimbing anak supaya anak cemerlang dalam akademik.Sudah menjadi lumrah zaman sekarang, kebanyakan ibubapa lebih mementingkan kejayaan anak dalam pelajaran berbanding kejayaan anak dalam ibadah mahupun pegangan.

Setelah semua jawapan diberikan sehingga semua yang bertanya berpuas hati, maka sesi soal jawab pun tamat dan diambil alih oleh pengacara majlis dari pihak sekolah.Seperti biasa majlis akan mengadakan majlis penyampaian sijil penghargaan sebagai menghargai kedatangan Abang Has untuk memenuhi pengisian program yang dirancangkan.

Ketika Abang Has sedang berjalan menuju ke kereta, seorang bapa datang kepada Abang Has lalu terus menegur.

"Assalamualaikum warahmatullah." 
"Waalaikumussalam warahmatullahiwabarakatuh."
"Encik Has, saya ingin bertanya soalan kepada tuan."
"Silakan."
"Tuan, saya mempunyai seorang anak lelaki yang berumur 7 tahun. Dia seorang yang agak nakal. Macam-macam cara saya buat. Saya nasihat, saya marah, saya hantar dia mengaji dan berbagai-bagai cara lagi yang saya buat. Bukan itu sahaja, saya telah menghantar ke bengkel pelajar cemerlang. Namun, semua usaha saya tidak berkesan." tanya lelaki itu sambil dikerumuni oleh ibubapa yang lain.(Macam artis popular pula tatkala dikerumuni sedemikian....Ahaks!)
"Sebelum menjawab soalan encik itu. Bolehkah tuan-tuan dan puan-puan yang ada dalam di sini ikut apa yang saya akan katakan." ujar Abang Has pada semua orang yang ada ketika itu..
"Begini, sekarang ini cuba tengok jari saya. Semua hadirin tolong buat macam ini " jelas Abang Has  sambil menunjukkan jari telunjuk abang yang diletakkan di atas hidung abang sendiri.
Semua yang ada ikut melakukan perkara yang sama seperti yang ditunjukkan oleh abang.
"Baiklah, semua sudah bersediakan? Sekarang ini saya hendak, tuan-tuan dan puan-puan alihkan jari tuan-tuan dan puan-puan...di atas dagu."
"Atas dagu!" Abang Has mengulangi perkataan yang sama lebih tegas sambil meletakkan jari telunjuk abang di atas dahi.
"Jangan lepas jari tuan-tuan dan puan-puan. Sekarang cuba tuan-tuan dan puan-puan perhatikan di mana jari  telunjuk tuan-tuan dan puan-puan?"
  Abang Has yang berada di hadapan kereta di atas bonet dapat melihat dengan jelas, sebahagian besar ibubapa yang hadir meletakkan jari telunjuk mereka di atas dahi.
"Berapa ramai yang meletakkan jari mereka di atas dahi. Bukankah saya menyuruh tuan-tuan dan puan-puan meletakkan jari di atas dagu?"
Para ibubapa tersenyum dan ketawa kecil mengenangkan telatah mereka sendiri yang tersilap meletakkan jari di tempat yang sepatutnya.
"Di sini bolehlah kita simpulkan bahawa manusia mudah mencontohi apa yang kita buat berbanding dengan apa yang kita cakap. Oleh itu, kalau hendak mendidik anak tidak cukup sekadar bercakap. Kita perlu tunjukkan contoh yang baik kepada mereka kerana cara ini lebih berkesan." jelas Abang Has secara sinis.
Intai-intaikanlah......
Sekiranya kita imbau sejarah di zaman Rasulullah SAW. Ramai orang yang asalnya kafir telah beriktikad memeluk agama Islam kerana terpesona dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Lantaran itu, hal ini boleh menjadi pengajaran kepada kita bahawa akhlak yang mulia merupakan pendidik yang sungguh berkesan dalam hidup kita.
 
 

No comments:

Post a Comment