Tuesday 22 January 2013

Aku dan perguruan....



Pagi ini terbangun awallah pula.Mungkin seharian tidur semalam menyebabkan rasa mengantuk itu hilang seawal pagi ini. Ketika menunggu azan Subuh berkumandang, aku teringat secebis cerita zaman menjadi pendidik di sebuah sekolah dulu...
Aku mengajar di sebuah sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ketika itu.Aku mengajar sesi petang.Maklumlah guru baru macam aku ni diletakkan tanggungjawab mendidik murid yang tidak menghadapi peperiksaan UPSR.....
Dalam kelas aku tu ada seorang murid setiap hari datang lambat ke sekolah. Agaknya kalau sesi petang buat perhimpunan sebelum bermula sesi pembelajaran pasti dia akan menjadi peserta tetap dalam senarai kena denda di perhimpunan.Dahlah kasut dan bajunya selalu kotor.Setiap kali aku bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.Aku masih bersabar dengan keadaan pakaiannya tetapi kesabaran aku tercabar dengan sikap yang setiap hari datang lambat.
Pada mulanya aku hanya memberi nasihat. dia hanya menunduk kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua aku memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokan harinya. Kali ketiga aku terpaksa menjalankan janji aku untuk memukulnya kalau lambat lagi.Anehnya di hanya menadahkan tangannya untuk dirotan.Airmata sahaja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.
Keesokan harinya dia masih juga lambat. Satu pagi,seperti hari ini aku terbangun awal. Dan selepas solat Subuh aku tergerak hati nak ambil tahu punca murid tu lambat datang ke sekolah setiap hari. Semalam aku dah pun mendapatkan alamatnya.Aku meneruskan niatku.Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan yang tidak berapa jauh dari sekolah. Setibanya aku di alamat yang tertera,aku lihat keadaan rumahnya sangat daif.Rumahnya kurasa hanya sebuah pondok tanpa bilik.Setelah seketika aku leka memerhatikan rumah itu,aku nampak murid aku itu sedang berdiri di depan rumahnya hanya memakai kain biru gelap dan singlet dalam keadaan gelisah.Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.Lebih kurang pukul 1.30 tengahari ada seorang pelajar perempuan sekolah menengah sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya.Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid aku yang terus bergegas memakainya.Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai,dia sudah berlari ke arah sekolah.
Aku kembali kesekolah dengan penuh penyesalan.Aku memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula bergenang. "Maafkan cikgu,tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh.Siapa yang berlari memberikan baju kepada kamu tadi?",Dia terkejut dan mukanya berubah."Itu kakak saya.Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain.Itu saja baju dan kasut yang ada.Maafkan saya cikgu",jawabnya." Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu rotan kamu...?"."Mak pesan jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang, apatah lagi meminta-minta pada orang.Kalau cikgu nak rotan serahkan saja tangan kamu".
Sambil menahan airmata yang mula berguguran, aku memeluk anak itu." Maafkan cikgu....". Kejadian itu cukup menginsafkan aku. Selepas itu aku cuba membantunya setakat yang mampu... Sehingga kini bekas murid aku itu telah berjaya mendapat keputusan PMR yang cemerlang tahun lepas. Insyaallah aku masih teruskan niatku membantu keluarganya.....kerana dia adalah guruku dalam membentuk hati nuraniku menjadi lebih positif.......

No comments:

Post a Comment