Sedang aku menunggu azan Zuhur di sebuah masjid pada satu
Jumaat ni,aku mencapai satu risalah yang tersedia di depan masjid.Lalu aku
membacanya.Dalam risalah tu ada satu cerita yang menarik perhatianku.begini
ceritanya.
“Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat
Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri
jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan
beberapa karya Islamik yang lain.
Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu
hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu
menjadi amat dingin dan hujan mulai turun. Anak kecil itu mula membetulkan
jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya dah
bersedia” Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa?”. “Ayah bukankah
ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah” ”Anakku! Bukankah
sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat” ”Ayah bukankah masih ada
manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun” Ayahnya menambah
“Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini” Dengan
merintih anaknya merayu “Benarkan saya pergi ayah?” Ayahnya berasa agak
ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya “Pergilah nak
dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!” ”Terima kasih Ayah”
Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan
dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu. Anak kecil itu pun
menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya.
Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada
penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan
Syurga” ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai
jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari
mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.
Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah
itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali.
Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada
jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu
yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah
ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya
pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam
lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. “Nak, apa yang makcik boleh bantu?”
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. “Makcik,
maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan
risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah”. Dia senyum dan
tunduk hormat sebelum melangkah pergi. ”Terima kasih nak dan Tuhan akan
melindungi kamu” dalam nada yang lembut Minggu berikutnya sebelum waktu solat
Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia
bertanya “Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu” Tiba-tiba sekujur tubuh bangun
dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. “Saya rasa
tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya.
Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.Suami
saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam
dunia ini” Air mata mulai bergenang di kelopak matanya. ”Pada Jumaat minggu
lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan
tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya
ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher.
Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya
tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika
tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan
loceng ditekan sekali lagi”. ”Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada
orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama.
Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke
pintu” ”Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”. “Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik
dan sentiasa memelihara makcik” itulah kata-kata yang paling indah yang saya
dengar”. ”Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup
pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali
yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi”.
“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia,
yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat
alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan
malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka” Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang
masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas
turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di
kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini dikira Jumaat
yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang
dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya.
Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata
itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang. Semoga zuriatku seperti anaknya.....
No comments:
Post a Comment