Kau kini bukan berdua mahupun berkumpulan.Kau memang selalu sangat terlupa
dirimu sebenarnya siapa. Kau selalu tersalah membeza antara angan-angan
dan cita-cita. Sehingga kau ingin memiliki apa yang bukan ditakdirkan
untuk dirimu. Cita-citamu terlalu tinggi sehingga membuatkan kau terlupa
tentang dirimu sendiri. Ya, kerap benar kau terlupa dirimu itu
sebenarnya siapa sehinggakan apa yang hanya dikatakan angan-angan oleh
orang lain, kau pula yang bersungguh-sungguh yang menjadikannya
cita-cita. Bersungguh-sungguh kau mahu mendapatkannya, padahal kau
sedang asyik benar terlupa bahawa kau seorang saja yang menganggapnya
cita-cita. Tapi bagi orang lain ia hanya angan-angan semata. Maka, kau
jugalah akhirnya yang tersayat-sayat luka dan parah kecewa.
Kau
tak punya siapa untuk merawat hatimu yang teruk terluka. Ya, kau tak
punya siapa. Kau hanya ada sebatang tubuh dirimu saja. Ya, yang kau ada
hanyalah sebatang tubuhmu yang luka sahaja. Luka hatimu itu kau
tanggunglah sendiri dan kau ubatlah sendiri kerana tiada siapa yang akan
mempeduli. Ya, tiada siapa yang akan mempeduli. Dan tiada siapa yang
akan mengerti dan memahami. Sakitnya hanya kau yang rasa seorang diri.
Pedihnya tak terperi. Peritnya hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Yang
mampu kau lakukan hanyalah meneruskan tugas dan tanggungjawabmu seorang
diri. Janganlah kau harapkan sesiapa lagi kerana ia hanya akan bakal
melukakan hatimu nanti. Berjalan atau berlari, tanggungjawab ini memang
wajib kau teruskan, mesti! Telah ditakdirkan Tuhan nasibmu begini.
Apa-apa pun yang terjadi tetap mesti kau harungi, meskipun seorang diri.
Biarlah tidak ditemani, biarlah tanpa siapa pun di sisi, biarlah walau
seorang diri – segala sakit di hati dan pedih luka yang kau alami kau
ubatlah sendiri. Tiada siapa yang akan mengerti, tiada siapa yang akan
mengerti. Tiada siapa yang ikut mahu berkongsi sakit dan pedih di hati.
Ingat-ingatkanlah
dirimu sendiri, berkali-kali – lagi dan lagi dan lagi dan lagi dan lagi
dan lagi... Supaya kau tak terlupa diri. Supaya kau sentiasa sedar akan
hakikat hidup ini. Kau hanyalah seorang manusia yang tak punya apa-apa.
Ingat-ingatkanlah dirimu sendiri setiap hari, seribu kali, sejuta kali –
setiap detik dan waktu berlari, setiap pagi dan tengah hari, setiap
malam dan dini, di tengah terang atau sembunyi; bahawa kau hanyalah
seorang laki-laki yang tak punya apa-apa lagi melainkan hanya dirimu
sendiri.
Sedarlah sentiasa. Ingatlah sampai bila-bila. Jangan
sampai terlupa dirimu itu siapa. Jangan pula kau terlupa, ingatlah dari
semasa ke semasa – dirimu itu hanyalah seorang Abang Has. Supaya kau tidak
lagi meminta yang bukan-bukan, supaya kau tidak lagi bertukar antara
cita-cita dan angan-angan, supaya kau sentiasa pasrah untuk selalu
berseorangan, supaya kau tabah dan sabar dengan segala dugaan Tuhan,
supaya kau cekal menghadapi bertimpa-timpa ujian, supaya kau selalu reda
ditakdirkan tak berteman, supaya kau tidak merasa sunyi walaupun tanpa
kawan dan supaya kau benar-benar ingat bahawa kau masih ada Tuhan.
Ya,
kau hanyalah seorang Abang Has – lelaki yang tak punya apa-apa di atas
dunia ini. Memang patutlah barangkali kau dijauhi, memang wajarlah
agaknya kau tidak ditemani, memang padanlah kau tidak disukai, memang
eloklah gamaknya kau langsung tidak diingati, memang sudah tertulislah
agaknya hatimu sentiasa menanggung sakit yang tak terperi malah tak
siapa pula yang mahu mengerti dan memang sudah tersuratlah nasibmu
begini di dunia ini. Kau menangis dan berhibalah seorang diri, tiada
siapa pun yang akan peduli. Tiada siapa pun yang akan datang memujuk
hati. Tiada siapa pun yang akan cuba memahami. Tiada siapa pun yang
mampu mengerti. Janganlah kau berharapkan sesiapa lagi di atas dunia
ini, jangan sekali-kali.
Peringatkanlah dirimu sendiri dalam
setiap inci hidupmu nanti; setiap masa, setiap saat dan ketika, setiap
waktu yang ada, di sepanjang hidup yang tak lama, ingat-ingatlah
sentiasa supaya kau tidak sekali-kali terlupa bahawa – dirimu hanyalah
seorang Abang Has!
jangan lupa abg ada nurwardah..
ReplyDeletesetiap inssan mempunyai kelebihan yang tersendiri kan???hehehe :D
ReplyDeleteRegards,
-Strider-
:-)
ReplyDelete