Monday 4 March 2013

Sedikit Dikongsi Banyak Manfaat

Seorang atuk sedang berehat sambil membaca surat khabar, manakala cucu kesayangannya  bermain-main dengan sebuah kereta permainan di  pokok manggis yang rendang lagi redup. Udara yang begitu segar pada petang itu memberi kedamaian kepada sesiapa sahaja yang menghirupnya.
Di saat keasyikan bermainnya seorang anak kecil berhampiran atukanya, muncul seorang kanak-kanak membawa sesuatu tidak jauh dari situ. Usia kanak-kanak itu dalam lingkungan 9 tahun. Dia membawa sebuah bakul yang berisi dengan sejumlah kuih-muih.
Suasana kesunyian pada ketika tadi telah dipecahkan oleh suara pekikan kanak-kanak itu, "Kuih...kuih...". Atuk dan cucunya memandang sesama sendiri tanpa berkata apa-apa.
"Pakcik hendak membeli kuih?" kanak-kanak tersebut bertanya kepada atuk yang sedang memegang surat khabar. Cucunya pula bingkas bangun mendekati atuknya.
"Tidak mahulah, lagipun kami sudah makan tadi." jawab atuk itu.
"Pakcik boleh tengok dahulu, mungkin cucu pakcik ingin memakannya." kanak-kanak itu bercakap dengan lemah lembut.
"Saya kata tidak mahu, tidak mahulah." suara atuk itu agak keras. Cucunya memandang ke arah atuknya. Lantas, dia memegang kaki atuknya kerana bimbang atuknya bertambah marah.
"Belilah atuk, boleh Muhammad makan. Lagipun, petang ini nenek sibuk mengemas rumah. Dia tidak sempat untuk membuat kuih untuk kita" cucunya bersuara perlahan.
"Atuk masih kenyang lagi. Kalau kamu hendak kuih ini juga, kamu pergi minta duit dekat ayah kamu." jawapan atuk kepada cucunya agak tegas. Kanak-kanak penjual kuih itu pun berjalan perlahan-lahan meninggalkan si atuk itu.
Cucunya sedikit kecewa dan bergegas lari ke atas rumah. Atuknya tidak mempedulikan kanak-kanak penjual kuih itu, dia terus sahaja duduk di atas kerusi untuk menyambung bacaan surat khabar. 
Setelah beberapa minit kemudian si cucu datang bersama ayahnya. Ayah kepada anak kecil itu datang membawa sebuah dompet. Dari jauh, anak kecil itu memanggil penjual kuih supaya datang balik kepadanya kerana hendak membeli kuih.
"Berapa harga kuih ini adik?" ayah kepada anak kecil itu bertanya kepada penjual kuih. Anak yang berada disisi ayahnya hanya sekadar melihat.
"Empat biji seringgit. Abang boleh campur semua jenis." jelas kanak-kanak penjual  kuih itu.
"Kamu ambil sepulluh ringgit ini. Abang ambil semua ini." ujar si ayah kepada anak kecil itu.
"Tidak boleh abang, harga kuih ini hanya lima ringgit sahaja." balas penjual kuih.
"Kenapa pula?" lelaki itu bertanya. Si atuk yang berada di atas kerusi sebenarnya sedang menadah telinga mendengar perbualan antara menantunya dengan kanak-kanak penjual kuih itu.
"Ibu saya akan memarahi saya jika saya membawa pulang duit yang lebih daripada hasil jualan. Emak kata, kita mesti bekerja untuk mencari nafkah. Allah SWT berikan tulang empat kerat untuk saya berusaha. Emak tidak benarkan saya mengemis kerana itu perbuatan orang yang tidak berupaya." ujar kanak-kanak kecil itu.
"Kenapa kamu terus berjalan pergi tadi?" tanya anak kecil itu kepada penjual kuih pula.
"Emak saya pesan, kalau orang tidak mahu membeli jangan dipaksa. Rezeki kita ada di mana-mana. Oleh kerana pakcik itu kata tidak mahu beli, saya pun jalanlah." jawab penjual itu.
Cuba Intai-intaikan......

Pengertian rezeki adalah sangat luas dan bukan terbatas kepada wang ringgit semata. Ringkasnya, rezeki adalah sesuatu yang bermanfaat kepada kita seperti kesihatan, makanan, pakaian, keluarga dan sebagainya.
Oleh kerana terlalu banyak rezeki yang Allah SWT anugerahkan kepada kita, seharusnya kita bersyukur akan nikmatnya. Antara cara mensyukuri nikmat-Nya adalah dengan tidak marah, bersedekah dan mengambil iktibar di setiap kejadian yang berlaku di sekeliling kita.

Di samping itu, kita perlu sedar bahawa Allah SWT tidak membezakan umur, bangsa atau pangkat untuk memuliakan seseorang.

No comments:

Post a Comment