Wednesday 6 March 2013

Kepentingan yang paling penting.......

Masa tengah makan nasi ayam di pejabat tadi,tiba-tiba Abang Has teringat perbualan Abang Has dengan seorang ustaz dua minggu lepas di hospital.Masa tu Abang Has telah seminggu menjaga mama Abang Has di hospital kerana masalah usus.Dan setiap pagi dan petang Abang Has akan melalui sebuah bilik yang dihuni oleh seorang pesakit lelaki.
Hampir seminggu Abang Has melewati bilik itu,baru timbul rasa di hati untuk menoleh penghuninya.Masyaallah, rupanya pesakit itu adalah bekas ustaz Abang Has semasa menimba ilmu dahulu.Ustaz ini memang telah menubuhkan sebuah sekolah agama. Dia begitu aktif berdakwah dan berusaha membangunkan sekolah agama tersebut. Beliau bukan sahaja aktif dalam menyampaikan ilmu tetapi juga merupakan orang kuat sebuah badan yang memperjuangkan syiar Islam.Hampir sebulan guru agama itu tidak dapat mengajar di surau berdekatan sekolah agama itu lantaran kesakitan yang menimpanya. 
Kini dia terlantar di atas katil dan doktor mengesahkan dia mengidap penyakit jantung. Meskipun beliau tidak mampu bergerak banyak, namun setiap kali ada orang yang datang menziarahi beliau pasti ada sahaja nasihat yang dia berikan. Dakwahnya masih tetap berjalan biarpun di atas katilnya.
Sepanjang perbualan dengan Abang Has hari tu, dia sentiasa tersenyum seolah-olah tiada sebarang kesakitan pada dirinya. Namun, pada suatu ketika dahinya berkerut secara tiba-tiba. 
"Kenapa ustaz, sakitkah?" Abang Has bertanya kepada penyuluh hidup Abang Has itu...
  Ustaz itu memberi jawapan, "Bukan sakit. Tetapi ana teringat kisah Saidina Uthman R.A.yang pelik"
"Apa yang peliknya?" tanya Abang Has lagi.
" Saidina Uthman R.A. merupakan seorang sahabat yang hebat. Beliau dikasihi Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dia juga dikenali dengan kekayaan yang dimilikinya. Namun, kemanisan hidupnya bukan kerana kekayaan yang dimilikinya." ujar guru agama itu.
"Habis, ustaz apa yang peliknya." tanya Abang Has lagi masih tidak dapat maksudnya.
"Saidina Uthman R.A. pernah berkata dia mencapai tahap kemanisan dalam ibadah dengan empat perkara iaitu apabila dia menunaikan apa yang difardukan Allah SWT, meninggalkan segala yang diharamkan Allah SWT., ketika menyeru kepada kebaikan dan ketika mencegah kemungkaran dan menjaga diri daripada membuat perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT."jelas guru agama tersebut.
Intai-intaikanlah...........
Allah SWT sentiasa menjaga hamba-Nya seandainya kita menjaga agama-Nya. Penjaga agama boleh diertikan sebagai orang yang mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Apabila kita mampu memperoleh penjagaan daripada Allah SWT, maka kita bakal merasai nikmat yang tidak terperi. 
Hal inilah yang dirasai oleh Saidina Uthman R.A. yang merasai kenikmatan ketika melakukan ketaatan kepada Allah SWT.
Moga-moga kita dapat beristiqamah dalam mentaati titah perintah Allah SWT yang Maha Kuasa........

No comments:

Post a Comment