Sunday 3 March 2013

Ku bertaubat lagi......

Sejam selepas solat zohor, Abg Has memandu kereta Honda Accord yang baru dibeli dua bulan lepas. Niat abang hendak ke supermarket yang tidak jauh dari rumah abang untuk membeli beberapa jenis barang dapur yang dipesan oleh mama abang. Perjalanan yang diperlukan oleh abang lebih kurang dua puluh minit. Sebelum abang bergerak pergi, mama abang sempat berpesan agar abang memandu kereta dengan berhati-hati.
Setibanya di supermarket, abang mencari parkir kereta yang telah disediakan untuk meletak kenderaan abang itu. Ruang untuk meletakkan kereta hanya tinggal satu sahaja iaitu bersebelahan dengan sebuah kereta berkuasa tinggi. Setelah itu, abang pun berjalan menuju ke pintu masuk supermarket.
Saat abang berjalan menuju ke pintu masuk, abang berselisihan dengan seorang lelaki berbadan sasa, berkulit hitam manis, wajahnya berjambang, berkaca mata hitam dan berambut panjang mencecah bahu. Lelaki tersebut juga menggalas sebuah beg kulit kecil di sebelah bahu kirinya.
"Nampak macam seorang penjahat sahaja lelaki itu." terlintas di fikiran Abg Has tatkala menjeling kepada lelaki yang sedang berjalan keluar dari pintu supermaket itu. Dari jauh, Abg Has masih memerhati lelaki tadi yang berjalan menuju ke parkir kereta. 
Rupa-rupanya, kereta berkuasa tinggi yang berada di sebelah kereta abang adalah milik lelaki tersebut. "Oh, kereta dia rupanya. Sudahlah seperti gangster, berlagak pulak," hati Abg Has masih tidak berpuas hati.
Abang kemudiannya memasuki supermarket untuk membeli barangan yang telah dipesan oleh mama abang. Setelah semua barangan yang hendak dibeli diperolehi, abang pun pulang ke rumah.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, dilihat abang jam di tangan. "Waktu asar sudah semakin hampir, lebih baik aku singgah di masjid dahulu. Boleh aku bersolat secara berjemaah." fikir Abg Has.
Masjid yang tersergam indah terletak di sebelah kanan jalan besar. Abang terpaksa melintas jalan untuk memasuki masjid tersebut. Setibanya di perkarangan masjid azan Asar pun berkumandang. Abang pun cepat mencari parkir kereta untuk meletakkan kereta abang. 
Tiba-tiba hati abang tersentak kerana kereta yang dilihat di supermarket tadi turut berada di masjid itu.Abang biarkan sahaja. Pada fikiran abang boleh jadi kereta itu ditunggangi oleh orang lain. 
Usai berwuduk, abang pun melangkahkan kaki memasuki dewan solat masjid itu. Para jemaah telah bersiap sedia untuk melakukan solat jemaah. Langkah abang dilajukan supaya abang tidak ketinggalan rakaat pertama solat Asar.
Alhamdulillah, dapat juga abang bersama-sama iman untuk rakaat pertama. Setelah selesai berdoa, para berjemaah bangun bersalaman. Abang tidak ketinggalan bagi melaksanakan amalan yang baik ini.
Sekali lagi abang terkejut, kerana dalam kalangan para jemaah di masjid itu terdapat seorang yang pernah dilihat abang di supermarket tadi turut bersalaman dengan abang sambil tersenyum. Orang itu adalah lelaki berbadan sasa, berkulit hitam manis, wajahnya berjambang, berkaca mata hitam dan berambut panjang mencecah bahu yang dilihat tadi. Kali ini wajahnya lebih kemas kerana kepalanya di tutup dengan kopiah putih.
Kemudian daripada itu, dilihat abang lelaki itu berhenti di tepi tiang masjid yang menyediakan peti derma dan memasukkan duit ke dalam peti itu.
"Astagfirullahal'azim...," serta-merta terpancul kalimah taubat di mulut Abg Has. Abang begitu menyesal kerana bersangka buruk terhadap lelaki itu.
Fikirkan
Kita tidak boleh bersangka buruk dengan makhluk Allah SWT. Apatah lagi, bersangka buruk dengan Pencipta makhluk.
Siapalah abang untuk bersangka buruk dengan orang lain. Adalah lebih baik, kita merenung diri kita yang sering lalai dengan perintah Allah SWT........
 
 

No comments:

Post a Comment