Tuesday 5 March 2013

Kenapa Abang Has pentingkan solat.........Ini pengajarannya....

Sudah menjadi rutin Abang Has dan kawan-kawan menziarahi Tok Tam yang semakin uzur setiap tahun.Tok Tam adalah bapa angkat Abang Has dan kawan-kawan semasa menyertai program anak angkat masa zaman sekolah dulu. Umurnya kini hampir mencecah 65 tahun tetapi masih lagi kuat bersolat di masjid meskipun terpaksa jalan bertongkat. 
Alhmdulillah, Hari Raya Aidilfitri dua tahun lepas dirasakan agak meriah kerana semua kawan-kawan seadik-beradik angkat Abang Has dapat berkumpul bersama. Kawan pertama Abang Has bekerja di Kubang Kerian, Kelantan. Manakala kawan kedua bekerja di Kedah.Kawan ketiga pula berniaga di Kulai,Johor.Yang kawan keempat bekerja di Pulau Pinang dan Abang Has sendiri bekerja di Lembah Klang. Keadaan menjadi bertambah ceria tahun itu kerana semua dah mempunyai pasangan masing-masing dan keseluruhan anak saudara angkat telah meningkat kepada 7 orang.
Semua berkumpul di rumah Abang Has di Damansara.Perjalanan untuk sampai ke rumah Pak Tam mengambil masa hampir tiga jam lebih memerlukan kami bertolak awal pagi. Setelah diputuskan dalam mesyuarat kami kelmarin, kami semua setuju bahawa kami akan bertolak pada jam 9.30 pagi.
Oleh kerana semua ahli keluarga akan turut serta dalam rombongan ini, maka kami memandu kereta masing-masing menjadikan rombongan ini mempunyai 5 buah kereta. Kami bergerak secara berkonvoi.
Sebaik sahaja jam di tangan Abang Has menunjukkan 8.25 pagi, Abang Has meminta isteri dan anak-anak masuk ke dalam kereta. Begitu juga kawan-kawan yang lain, semuanya kelihatan telah siap sedia untuk memulakan perjalanan.
Lebih kurang jam 8.33 pagi, kami pun mula bergerak menuju ke lebuh raya utara selatan. Dengan harapan perjalanan kami selamat dan sampai seperti mana yang dirancangkan.
Sejam lebih kami berada di atas lebuh raya dan perjalanan kami berjalan dengan lancar. Namun, keadaan jalan semakin sesak dengan bilangan kenderaan yang kian bertambah. Keadaan ini menyebabkan kelajuan kereta terpaksa dikurangkan. Semua yang berlaku sudah ketetapan Ilahi. Sebagai hambaNya yang lemah, kita perlu redha dengan ketentuanNya.
Berdasarkan perhitungan kami, perjalanan untuk sampai ke rumah Tok Tam memakan masa lebih kurang tiga jam jika pemanduan dapat dilakukan dengan kelajuan yang tetap iaitu 100km/jam. Sekiranya kelajuan terpaksa dikurangkan atau ada masalah-masalah lain yang tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya mungkin perjalanan mengambil masa lebih daripada tiga jam.
Kelajuan kenderaan kami terpaksa di kurangkan lagi kerana jumlah kenderaan semakin meningkat.Di tambah pula hari semakin terik dan bahang sinar mentari kian terasa. Kereta  yang Abang Has pandu berada di belakang manakala empat buah kereta yang dipandu oleh kawan-kawan Abang Has berada di hadapan. 
Pada awal perjalanan, kereta kami berlima dapat berturutan tanpa ada halangan oleh kereta lain. Namun, dengan pertambahan kenderaan yang banyak dan ada pula kenderaan lain yang bergerak laju untuk mencari ruang yang dirasakan muat untuk dimasuki menyebabkan jarak kereta Abang Has semakin terbelakang. Sehinggakan Abang Has tidak dapat melihat di mana kereta kawan-kawan Abang Has.
Empat jam telah berlalu. Abang Has bersama isteri dan anak masih lagi berada di atas lebuh raya dan Abang Has rasakan kawan-kawan lain telah jauh ke hadapan. Maklumlah Abang Has kurang mahir dalam pemanduan berbanding yang lain. Mereka lebih cekap dan tindakan mereka lebih pantas berbanding Abang Has.
Tiba-tiba telefon bimbit Abang Has berbunyi. Abang Has dapati nama kawan dari Johor terpampang di screen telefon. Abang Has serahkan telefon tersebut kepada isteri supaya beliau dapat menjawabnya. Abang Has tidak dapat menjawab telefon kerana hendak memberi penumpuan terhadap pemanduan.
"Abang, diorang kata mereka telah keluar dari lebuh raya utara selatan." 
"Mereka hendak tunggu kita di stesen minyak Petronas sebelah kiri selepas susur keluar tol lebuh raya." Isteri Abang Has bersuara sambil menyampaikan maklumat daripada panggilan telefon.
"Baguslah mereka telah keluar, diharap kurang sedikit kesesakan lalu lintas." Abang Has menjawab dan meneruskan pemanduan.
Sekiranya kesesakan di lebih raya yang membolehkan pemanduan dengan kelajuan 30km/jam, Abang Has rasakan hampir sejam baru boleh Abang Has keluar daripada lebuh raya. 
"Tolong cakap dekat diorang, kalau abang lewat lebih baik tunggu di masjid berkubah kuning. Nanti boleh solat terus." Tambah Abang Has lagi memandangkan hari dah hampir ke tengahari.
Isteri Abang Has menyampaikan maklumat tersebut menerusi telefon dan perbualan mereka terhenti.
Di takdirkan, perjalanan di atas lebuh raya masih tidak berubah. 45 minit telah berlalu. Kami sekeluarga masih jauh dari susur keluar.
Telefon bimbit Abang Has berbunyi sekali lagi. Isteri Abang Has terus mengangkat dan menjawab panggilan telefon. Abang Has biarkan isteri  menjawab tanpa menyoal sebarang soalan.
Kemudian, isteri Abang Has menghentikan panggilan telefon. Dia menyatakan kepada bahawa kawan-kawan hendak bergerak ke rumah Tok Tam sekarang juga kerana menunggu Abang Has terlalu lama. Abang Has tersenyum sambil memandang ke arah jam tangan. Lebih kurang sepuluh minit lagi akan masuk waktu solat zohor.
Anak isteri Abang Has nampak gelisah berada di dalam kereta. Mungkin mereka terasa jemu, tidak selesa ataupun perut mereka telah lapar. Abang Has meminta kepada isteri keluarkan sedikit makanan yang dibawa dan diberikan kepada anak dan Abang Has sendiri.
"Sabar ya...kita hampir sampai ni." Abang Has melontarkan kata-kata.
Alhamdulillah, akhirnya Abang Has pun keluar daripada lebuh raya dan terus berhenti di masjid berkubah kuning yang berada dua kilometer selepas stesen Petronas. Kami bersolat Zohor terlebih dahulu kerana takut tidak sempat bersolat Zohor kerana perjalanan untuk sampai ke rumah Tok Tam lebih kurang 45 minit lagi.
Usai solat Abang Has rasa lega dan lapang dada sebab berjaya menyelesaikan tanggungjawab penting. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan sehingga sampai ke rumah Tok Tam.
Syukur, kami sampai  juga ke rumah Tok Tam. Kami dijemput masuk  ke dalam rumah. Namun, Abang Has agak terkesima kerana Abang Has dapati kereta kawan-kawan lain belum sampai. Sedangkan mereka berada di hadapan Abang Has dan lebih dahulu keluar daripada lebuh raya. Abang Has tanya kepada Tok Tam adakah kawan-kawan lain sudah sampai. Namun, Tok Tam sendiri tidak tahu.
Setengah jam kemudian baru kawan-kawan sampai. Mereka dijemput masuk. Abang Has dapati mereka agak kepenatan. 
"Kenapa lewat?" Abang Has bertanya.
"Kami tersesat. Pulak tu jalan yang kami lalui tadi ada kemalangan." Jawab kawan yang dari Kelantan.
  Abang Has terfikir sejenak. Kawan Abang Has yang dari Pulau Pinang ni seorang yang mahir dengan jalan ke sini sebab dia selalu juga bertandang ke sini sebelum ini. Inilah kuasa Tuhan.
"Tok Tam, boleh kami tumpang solat Zohor?" Kawan Abang Has meminta izin untuk bersolat.
"Silakan, jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri." Jawab Tok Tam.
  Abang Has memandang ke arah jam tangan. Tinggal lagi dua puluh minit akan masuk waktu Asar.
Intai-intaikanlah......
Sarjana Islam pernah menyebut seandainya kita menjaga agama Allah maka Allah akan mudahkan urusan kita. 
Kisah di atas kisah sebenar tetapi mungkin pernah berlaku kepada sesiapa sahaja. Bukan juga berniat menyalahkan sesiapa. Namun apa yang perlu kita fikirkan bagaimana untuk biasakan diri dalam mengutamakan tanggungjawab kepada Allah SWT. Umpamanya bersolat di awal waktu merupakan saranan Rasulullah SAW untuk kita amalkan kecuali ada keuzuran.
Sekiranya kawan Abang Has tadi menunggu waktu solat dahulu kerana waktu solat sudah hampir tiba sebelum meneruskan perjalanan mungkin dia tidak tersesat dan tersepit di tengah jalan.
Waalahu'alam. Astaghfirullahal 'Azim...
 
 

No comments:

Post a Comment