Wednesday 7 May 2014

Rindunya Pada Arwah Mama.......

Suatu ketika dulu, Abang Has pernah dijemput menjadi seorang penemuduga bagi sebuah syarikat gas dan minyak terkemuka. Abang Has hanya berperanan sebagai penilai dari aspek personaliti dan karektor calon-calon yang hadir di dalam temuduga tersebut.Pada pagi itu, berlangsunglah temuduga di dalam bangunan syarikat tersebut. Selain Abang Has, terdapat lagi 3 penemuduga yang merupakan pegawai atasan syarikat tu termasuklah pemili syarikat itu sendiri yang begitu berkarisma dari pandangan Abang Has.Abang Has panggilnya Tan Sri je.
Semasa menemuduga salah seorang calon,  Tan Sri tersebut mendapati seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di universiti. Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang.
Tan Sri itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
Gadis itu menjawab "Tidak."
Tan Sri bertanya lagi, "Jadi adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"
Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah meninggal ketika saya berusia satu tahun, ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian saya."
Tan Sri meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?" Gadis itu menjawab,"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah."
Tan Sri meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja berat.
Tan Sri berasa hairan lalu bertanya lagi, "Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?"
Gadis itu menjawab, "Tidak pernah. Ibu selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. Lagipun ibu membasuh lebih cepat daripada saya."
Tan Sri seolah-olah tidak menyukai gadis itu yang mungkin baginya seorang yang pentingkan diri sendiri. Memang betul pun gadis itu Abang Has lihat sangat mementingkan diri sendiri. Namun Abang Has rasa sifat itu boleh diubah. Lalu Abang Has memberitahu Tan Sri yang Abang Has mempunyai satu permintaan terhadap gadis itu, Abang Has menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan ibunya apabila gadis itu pulang ke rumah nanti dan berjumpa semula keesokan harinya.
Terpancar di wajah gadis itu seperti merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersihkan tangan ibunya.
Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat.
Abang Has menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu Tan Sri bertanya : "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?"
Gadis itu menjawab : "Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal."
Tan Sri itu bertanya lagi, "Apa yang anda rasa?"
Gadis itu menjawab : "Pertama, saya sedar apa itu pengorbanan seorang ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja bersama dengan ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti betapa sukarnya mendapat sedikit wang untuk hidup. Ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."

Tan Sri itu tersenyum lalu berkata, "Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini."
Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya. Prestasi syarikat juga semakin meningkat sampailah sekarang.
Sebenarnya beberapa hari yang lepas Abang Has terserempak dengan gadis tersebut ketika makan di sebuah restoran. Malah gadis itu yang menegur Abang Has, kalau tak mungkin Abang Has tak perasan. Gadis tu tiba-tiba mengucapkan terima kasih pada Abang Has. Katanya kalau tak kerana Abang Has membuat permintaan semasa temuduga dulu, pasti dia tidak berada ditempatnya sekarang.
Gadis itu menceritakan kisah pada malam selepas temuduga itu.Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan kepada anaknya.
Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari airmatanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kasar dan terdapat banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air di tangannya.
Lama-kelamaan gadis itu mula menyedari bahawa tangan inilah yang bersusah-payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti.
Calar-calar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya yang cemerlang dan juga demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih tertinggal.
Pengajaran dari cerita ini adalah kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak.
Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan kerja-kerja di rumah. Dari situ, kita akan belajar untuk menghargai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh mereka.......


No comments:

Post a Comment