Sunday 25 May 2014

Cinta Dan Abang Has

Tak pernah pun terfikir nak jatuh cinta lagi. Semuanya kerana kesan-kesan negatif yang diperoleh daripada insan yang pernah dicintai dulu. Sudahnya jiwa bertekad untuk tidak bercinta lagi. Walaupun kehidupan alam cinta itu amat indah dirasakan pada masa dulu, walaupun usia percintaan itu sudah cukup lama dan penuh dengan kenangan, tapi kerana kekecewaan yang diambil dalam masa yang amat pendek itu, ia melenyapkan segala kenangan yang maha panjang dalam ingatan cinta tersebut.

Sebenarnya ada kesilapan di sebalik kebahagiaan itu, iaitu kepercayaan terhadap seseorang yang sepatutnya bukan semestinya dipercayai kita. Kepercayaan ini wujud kerana manipulasi perasaan kita yang penuh dengan kasih sayang sehinggakan dunia kita yang sebelumnya lenyap begitu sahaja seperti membuka dunia sendiri di dalam kelambu bilik.

Ketika ini kita lupakan sesuatu yang menjadikan kita cukup dengkel tentang kehidupan ini, iaitu menjadi kacang lupakan kulit. Rasanya sesiapa pun pasti masih tersisip ingatan tentang peristiwa lalu walaupun berpuluh tahun telah ditinggalkan. SIAPA individu pertama yang kita kenali melalui hati ini? Selepas itu SIAPA? Dan SIAPA pula yang mengenalkan kita tentang erti kecewa? Sedih? Hampa? Dan juga BAHAGIA?

Pastilah jawapan yang kita semua tahu. Abang Has juga akan jawab IBU. Tak kisahlah nak panggil mak ke, ummi ke, mama ke, .... tapi itulah insan yang paling lama kita kenali dan paling banyak mencurahkan ilmu kehidupan pada kita. Walaupun IBU ini bukan seorang guru di mana-mana sekolah, tapi dia adalah guru yang paling utama dalam pembentukan diri kita sehinggalah kita dijemputNya.

Kita akan berasa bahagia bila IBU merestui segala tindakan dan keputusan yang kita ambil. Kita akan rasa teramat bahagia bila IBU bertemu kita tattkala kita dirundung kesedihan mahupun kecelakaan. IBU akan kita titipkan dibibir tatkala perasaan kita terasa gundah, bukan sahaja ketika masih kecil malah bila dewasa kini, masih juga menjadikan IBU sebagai pengubat resah.

Namun fitrah ini bukan yang utama lagi bila seseorang yang menjadi impian kita muncul. Yang kononnya dicanang-canang bakal memberikan kebahagiaan sempuurna dalam diri manusia. Dialah pasangan sehati sejiwa yang dicari selama ini. Dialah bintang hati penyulam jantung kita buat selama-lamanya. Dialah yang digelar KEKASIH mahupun PASANGAN HIDUPku.

Ketika inilah timbul kepercayaan yang menjulang tinggi terhadap KEKASIH itu. Bila mana segala kata-katanya umpama sebutir mutiara yang mesti diagung-agungkan. Tindakan-tindakannya terhadap kita menjadi inspirasi buat pembakar semangat kita. Adapun kekurangan-kekurangannya kita bakar sekelip mata sehingga lenyap dari ingatan kita kerana bukti pengorbanan kita terhadap cinta yang tulus suci itu.

Dan ketika ini tiada siapa pun yang mampu mengingati seseorang yang lebih dulu kita kenal, lebih dulu kita cinta dan lebih dulu menyemai pengalaman indah kita........iaitu IBU. Masa percintaan kita menjadikan takhta IBU jatuh ke tempat kedua dalam carta sanubari kita. Apa yang diperkata oleh ibu mula dipertikai dan dibandingkan dengan KEKASIH kita. Apa pilihan yang diberi IBU mula disebariskan dengan pilihan sang KEKASIH. Nasihat IBU yang ada kena-mengena dengan KEKASIH dicicirkan tanpa mahu diambil kira kerasionalannya. Itulah dahsyatnya perasaan cinta jika diberikan pada insan yang tidak sepatutnya.

Sebenarnya cinta ini hanya untuk IBU dan ayah serta keluarga dan 'keluarga' sahaja. Kerana hanya mereka ini sahaja yang menghargai cinta kita dengan setulusnya.Hanya mereka sahaja yang akan menerima kehadiran kita dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.  Abang Has dah alami semua ini dan tahu kesilapan tersebut.

Tapi kini Abang Has pula sudah jatuh hati. Walaupun sekarang Abang Has akan jaga hati ini sebaik-baiknya, tapi itu belum mampu menjamin kisah cinta selepas ini Abang Has tak akan melakukan kesilapan lagi. Namun yang pasti Abang Has sahaja yang jatuh cinta. Si dia belum tentu lagi. Lagipun sikap Abang Has yang terlalu mererendah diri ini masih menebal. Abang Has masih merasakan diri Abang Has yang gemuk dan tidak tampan ini bukan pasangan yang dicari oleh si dia yang cantik menawan itu. Mungkin kerana selalu bertemu si dia di tempat kerjanya membuatkan Abang Has mengenal personaliti dan sikapnya yang bagi Abang Has cukup sesuai dengan kehendak Abang Has. Cuma Abang Has tiada kekuatan untuk kembali menggapai cinta. Insyaallah kalau Dia tetapkan si dia itu milik Abang Has, Dia akan permudahkan.

Tapi kali ini pasti Abang Has tidak mengulangi kesilapan lalu.............

2 comments: