Thursday 26 December 2013

MELAWAN CAKAP MAK UMPAMA TAK ADA MAK PUN TAK APA

Tadi Abang Has keluar sebentar untuk mendapatkan makanan untuk perut yang berkeroncong sejak pagi ni. Angannya nak cari sate Kajang.Maklumlah kat Bangi ni bersepah sate Kajang tapi sejak bermastautin kat sini belum pernah merasa sate Kajang tu. Ketika sedang memandu penuh keenakan, tiba-tiba trafik sesak.Pemanduan yang awalnya 60km/j dah jadi pemanduan selangkah demi selangkah.Ruparupanya ada sekatan jalanraya oleh pihak polis.



Bila hampir dengan kelompok polis itu, ternampaklah sekumpulan penunggang motor ditahan dan berderet duduk di bahu jalan.Tercetus di hati ni bahawa mereka terlibat dengan lumba haram.Tiba-tiba Abang Has terkenang kembali peristiwa ketika menumpang di rumah kakak angkat di tengah Negeri Melaka dulu.


Ketika sedang menikmati makan malam yang disediakan oleh kakak angkat Abang Has malam tu dengan ditemani adik lelakinya, Abang Has mengajukan soalan pada kakak angkat Abang Has tu," Jaie mana Kak Leha?", tanya Abang Has tatkala tiada melihat kelibat anak lelaki Kak Leha tu di rumah ketika itu.Si Jaie ni adalah bekas peserta program yang pernah Abang Has sertai dulu.Masa tu Abang Has cuma jadi fasilitator je.Dan ketika itulah Abang Has kenal Kak Leha ni.Dia ibu tunggal yang amat teliti dalam menjaga anak dia yang seorang ni.Semua kem atau program yang boleh membentuk anaknya menjadi anak yang baik dia hantar.


"Entahlah Has.Tadi kata nak pergi rumah Zahari buat kerja sekolah,Nanti -nanti baliklah dia tu", sejuk perut ibu yang mengandungkan anak yang bertanggungjawab macam tu.Seingat Abang Has masa tu, remaja sebaya dengan Jaie tu kalau malam-malam begini kalau tak tidur senyap dalam bilik,mesti melanguk tengok tv je. Tiba-tiba telefon bimbit Kak Leha berbunyi.Kak Leha menyambut panggilan tu dan terus muka dia berubah.Beberapa detik kemudian, perbualan dimatikan.


"Has jom teman akak jap.Jaie kena tahan polis dekat Lorong Pandan", kata Kak Leha.Abang Has dan Kak Leha pun terus mengisi perut kereta dan berlalu meninggalkan adik lelaki Kak Leha di rumah seorang diri.Kak Leha kelihatan muram.Di balik wajahnya yang ayu persis Vanida Imran tu terselit perasaan kecewa dan kerisauan."Akak tak tahu lagi nak buat macam mana dengan si Jaie tu lagi.Akak dah cuba macam-macam.Tapi semuanya masih tak dapat ubah perangai si Jaie tu....", kata Kak Leha pada Abang Has.Secara tidak disedari airmata Kak Leha meleleh ke pipi.Kak Leha meletakkan kepalanya di bahu kiri Abang Has."Tak ada apalah tu kak,Has kan ada.Jaie tu baiklah budaknya.Cuma belum sampai akal dia untuk berfikir matang.Biasalah kalau berfikiran budak ni,asyik ingat benda seronok je..",pujuk Abang Has meredakan hati Kak Leha yang gundah itu.

Bila tiba di lokasi, rupanya ada sekatan jalanraya oleh pihak polis.Dalam hati terdetik juga si Jaie ni dah terlibat dengan jenayah ke sampai sekat-sekat jalan ni.Bila Abang Has berhenti di bahu jalan, Kak Leha terus keluar menuju ke arah segerombolan anak muda yang duduk berkumpul di suatu sudut.Nampak kelibat Jaie sedang memandang ke arah ibunya.

Dari jauh, tampak si ibu bagai meluru tak sabar-sabar untuk tiba ke tempat anak lelakinya berdiri. Abang Has pula berjalan lesu. Waktu tika itu hampir jam 12 tengah malam.

Sebaik tiba di depan anaknya, tanpa lengah si ibu bagai melepas geram terus mencubit dan menampar badan anaknya si Jaie. Abang Has dan anggota-anggota polis di situ terpinga-pinga melihatkan situasi itu lantas beberapa anggota polis trafik meredakan keadaan.

Terkedu si Jaie yang dua jam lalu, beriya-iya mendakwa ibunya sudah memberi keizinan untuk dia menunggang motosikal milik arwah bapanya dan turut dibonceng rakan sekampung berusia 16 tahun.Itu apa yang diceritakan oleh polis tu pada Abang Has.

Ketika cuba ditahan, dia melarikan diri dari sekatan jalanraya dan turut menendang motosikal anggota penguatkuasa yang mengejar mereka.

"Masuk lokap je encik. Masuk sekolah jahat Henry Gurney. Tak apa, saya rela," tercetus akhirnya luahan hati si ibu sebaik diredakan.

"Aku tak boleh kawal kau lagi. Kat sekolah kau anak murid aku, kat luar aku tak boleh kawal kau seorang. Selama ini kau cakap tak goyang, tak goyang, tengok semua polis ni, tengok!!!"

"Kalau dahi ni tak sujud pada sejadah, inilah jadinya", berterusan si ibu melepaskan geram bagai sebuah drama realiti di depan hampir 50 pegawai dan anggota polis serta anggota Rela yang turut bersama-sama dalam operasi itu.

Suasana menjadi sunyi dan hanya kedengaran suara si ibu. Semua memerhati. Semua bagai menyokong tindakan si ibu. Mat-mat rempit lain yang sibuk berbual sesama sendiri turut kaku melihat adegan itu. Mungkin timbul keinsafan dalam diri mereka.....

"Ibu cakap, jangan keluar, kau cakap nak pergi buat keje sekolah.Ibu dah kata malam minggu jangan keluar. Jangan! Jangan!. Tak tengok kat TV ke orang kena tangkap", luah si ibu dan suaranya beriring nada kekesalan.

"Bila kita marah, dia cakap nak rompak rumah orang. Tak kurang ajar punya anak? Sampai hati kau jadi anak macam ni. Budak sekolah pukul 10 duduk rumah," kata si ibu lagi dan kali ini nada sudah berselang kesedihan.

Tatkala itu, sudah mula mengalir airmata si ibu itu lagi. Si anak hanya tunduk kaku, tak seperti tika selepas ditahan dua jam sebelum itu, ceria, beriya iya. Kata polis pada Abang Has, sebelum tu dia kelihatan suka je bila kena tahan dan menegakkan kata-kata dia yang ibu dia bagi kebenaran.Ibu dia datang sayur jadinya budak tu.
 

Abang Has tak mampu nak berkata-kata. Mungkin sudah puas meleteri anak-anak orang yang macam itu. Mungkin sudah kering airmata Abang Has memikirkan kedegilan anak-anak sebegini tika ibubapa keluar mencari rezeki buat kesemua anaknya.

Bagi meredakan keadaan, seorang inspektor polis mencelah Kalau tak silap nama yang tertulis di pakaiannya Ajwad..

"Kami akan charge (tuduh) dia lari dari sekatan jalan," kata Inspektor Ajwad tegas.

Mungkin mendengar penjelasan ringkas Inspektor Ajwad itu, tercetus luahan si ibu lagi.

"Kat rumah berapa kali dia nak tumbuk saya. Sekarang ni apa? Aku ni ibu kau. Hari-hari aku doa, Ya Allah jadikanlah anak aku golongan yang baik-baik. Tapi kau jawap apa? Ibu mampus, ibu mampus". Ya Allah, terkejut Abang Has bila Kak Leha kata macam tu.Ada juga anak yang cakap begitu pada ibu yang melahirkannya.

Ketika itu, si ibu mencucuk-cucuk perut si anak. Hilang segala kehebatan si anak. Akhirnya ibu juga yang datang. Biar marah, kesemua yang menyaksikan bagai mengerti, dia tetap anaknya. Dia tetap darah dagingnya. Mungkin sudah kemuncak kemarahan si ibu.

"Nanti puan datang ke balai trafik untuk jamin anak makcik," jelas Inspektor Ajwad lagi.

Sambil menjeling marah ke arah anaknya, si ibu dengan cepat menjawab: "Jamin kau? No, no. Ibu tak akan jamin kau, tak ada tak ada," katanya bagai puas, biar malam itu menjadi pengajaran buat si anak yang degil itu.

  Kak Leha berlalu pergi mendapatkan Abang Has.

Lantas, Inspektor Ajwad mengarahkan anak buahnya untuk membawa Jaie dan semua tahanan itu ke balai. Tak sempat dibawa, Jaie itu meraung-raung menangis mengejar ibunya.

Sekali lagi kami tersentak. Si ibu tak mempedulikannya. Kami yang melihat bagai menyokong tindakan si ibu. Biarkan dia rasa. Biar dia serik. Biarkan. Itulah kata hati kami. Kami pun marah. Apatah lagi mendengar luahan hati si ibu di pagi yang bening itu.

Berterusan suara si anak merintih pada ibunya. Semakin jelas suaranya. Si ibu berhenti. Dibiarkan anaknya menangis, meraung di depannya. Direnungnya anaknya itu.

Siapa tak sayang anak. Tentu wanita ini ibu yang baik. Apatah lagi sebagai seorang guru, sifat penyayang tinggi dalam diri mereka. Tampak wajah amarah si ibu sudah bertukar menjadi simpati dan penuh kasih sayang, tatkala si anak menarik-narik tangan yang sama mengendong dia ketika kecil, memimpinnya ketika melintas jalan, menepuk-nepuk tika mahu tidur.

Akhirnya si ibu mengalah. Dipimpin tangan anaknya ke kenderaan polis. Berdiri kaku si ibu melihat si anaknya di bawa pergi.

Selepas segala proses selesai, Abang Has dan Kak Leha berjalan keluar dari balai beriringan dengan anaknya sambil tangan dipimpin erat, kuat-kuat bagai tak mahu melepaskan anaknya itu.

  Abang Has sempat menegur si Jaie menasihat si anak itu ,"Jika tak kasihan pada diri sendiri, kasihanlah pada ibu. Kasihan ibu berhempas-pulas membesarkan awak. Esok awak dah kahwin, awak nak anak awak macam awak?".

Tertunduk diam si anak itu. Abang Has tepuk bahunya beberapa kali dan sempat berkata padanya , "Awak mesti anak yang baik sebab tu awak menangis minta maaf pada ibu tadi", Dan sempat Abang Has mengucapkan terima kasih kepada si ibu kerana tak putus asa dengan kasih sayang pada si anak yang degil ini. Tersenyum si ibu bagai mereda hati dan perasaannya..

Itulah antara kisah kisah kecil yang mahu Abang Has jadikan iktibar untuk kita semua. Kongsilah dengan sesiapa, pada anak-anak, pada anak saudara atau mungkin pada diri sendiri. Jahat mana sekalipun, ibu mahupun ayah tetap bersengkang mata buat anak-anak. Biar sakit lutut, biar membuai diri dek tak lena tidur, demi anak!

Itu hanya sekelumit. Abang Has memang mahu berkongsi semua kisah di sini tetapi kadangkala masa tak mengizinkan. Yelah kais pagi makan petang. Kalau tak dikais, mahu tak makan petang nanti kan..........


No comments:

Post a Comment