Wednesday 4 December 2013

Bila baldi yang mengajar Abang Has Al-Quran........

Suatu masa dulu, Abang Has pernah menginap bersama keluarga angkat selama sebulan. Ketika itu Abang Has sedang cuti sekolah setelah tamat peperiksaan UPSR.Keluarga angkat Abang Has ialah ayah Haron,mak Biah dan anak-anaknya Fatin, Ruhani, Fadilah dan Fahmi.

Walaupun Abang Has dah banyak kali  pergi ke rumah itu, kali ini ada perkara baru bagi Abang Has yang Abang Has nampak iaitu kehadiran seorang lelaki tua yang menyapa Abang Has dengan panggilan cucu.

Dari pemerhatian Abang Has,orang tua tersebut bekerja sendiri dengan mengambil upah menganyam tikar mengkuang.Sebelum azan subuh berkemandang, dia sentiasa mengajak Abang Has berjalan ke surau berdekatan dengan rumah untuk bersolat subuh secara berjemaah. Kemudian daripada itu, dia akan mengajar Abang Has mengaji Al-Quran walaupun Abang Has kata dah tahu.
Kadang-kadang dia akan menyediakan sedikit sarapan pagi untuk kami makan bersama-sama. Jika tidak,  dia sendiri atau Abang Has akan pergi membeli sarapan di kedai bersebelahan dengan surau kampung itu.
Seusai solat Dhuha barulah dia akan melakukan kerja-kerja menganyam tikar mengkuang bersama Abang Has yang ketika itu cukup berminat belajar apa yang dibuat oleh orang tua itu.. 
Begitulah rutin harian bagi orang tua itu bersama Abang Has pada setiap pagi di rumah itu.Sebenarnya seluruh keluarga itu pergi bercuti ke luar negara kerana menghantar anaknya yang sulung Fadilah sambung belajar.Jadi Abang Has ditinggalkan bersama orang tua ini sampailah sesi persekolahan bermula.
Pada suatu hari, ketika kami sedang asyik melakukan kerja-kerja menganyam tikar, Abang Has bertanya beberapa soalan.
"Atuk, Has ingin bertanya beberapa soalan boleh atau tidak?" Soal Abang Has.
"Boleh, apa salahnya." Jawab atuk
"Saya selalu tengok atuk membaca Al-Quran siang malam dan atuk sering mengajar saya pula pada setiap pagi?"
"Ya...". Jawab atuk dengan ringkas.
"Tetapikan atuk, apa kelebihannya kita membaca Al-Quran, kalau kita tidak tahu maknanya?" Sambung Abang Has lagi.
"Baiklah sebelum atuk jawab soalan kamu, atuk hendak beri satu tugas kepada kamu. Kalau kamu dapat melakukan tugas ini, atuk akan beri hadiah istimewa kepada kamu." Balas atuk pula.
"Apa tugasnya atuk?" Jawab Abang Has dengan begitu teruja. Abang Has tidak sabar untuk mendapatkan hadiah yang dijanjikan oleh orang tua itu.
"Begini, kamu nampak atau tidak baldi yang terletak di sebelah pokok nangka itu?" Soal atuk sambil menunjukkan sebuah baldi lama yang terletak di atas tanah bersebelahan dengan pokok nangka.
"Nampak." Jawab Abang Has.
"Kamu pergi ambil baldi itu dan bawakan kepada atuk." atuk memberi arahan.
  Abang Has bergegas sambil berlari-lari anak untuk mendapatkan baldi yang dinyatakan oleh orang tua itu.
"Atuk, baldi ini kotor dan berlubang lah." dari jauh, Abang Has menjerit.
"Kamu bawa sahaja baldi itu kepada atuk." Atuk menjawab dengan suara yang agak tinggi agar dapat didengari oleh Abang Has.
Setelah diserahkan baldi tersebut kepada orang tua tu, Abang Has pun duduk berdekatan dia.
"Atuk hendak kamu bawa ambil air di dalam telaga di belakang rumah dengan menggunakan baldi ini dan penuhkan tempayan itu dalam masa seminggu setiap pagi. Sekiranya kamu berjaya, atuk akan berikan hadiah yang atuk janjikan tadi." Atuk memberi penjelasan.

"Laluan yang kamu lalui untuk mengambil air dan mengisi tempayan perlulah sama setiap hari. Kamu juga perlu perhatikan apa yang berlaku di kiri dan kanan sepanjang perjalanan yang kamu lalui." Sambung atuk lagi.

"Baiklah atuk." Jawab Abang Has, tidak sabar untuk melakukan tugasan yang diberikan atuk itu.

Jarak perjalanan dari tempayan ke telaga di belakang rumah itu lebih kurang lima ratus meter sahaja. Di sepanjang jalan tersebut hanya dipenuhi dengan rumput kecil beserta kayu-kayu kering yang patah.

Maka sepanjang tujuh hari Abang Has berusaha keras demi mendapatkan hadiah yang dijanjikan oleh atuk itu. Orang tua itu hanya memandang dari jauh dan tersenyum dengan tindakan cucu angkatnya yang rajin ini.

Apabila sampai hari yang ke tujuh Abang Has masih belum mampu memenuhkan tempayan yang dimaksudkan oleh atuk itu. Pada ketika itu juga Abang Has berasa kecewa kerana tidak dapat memenuhkan tempayan itu, maka harapan untuk mendapatkan hadiah itu hanya tinggal impian sahaja.

Kemudian, orang tua itu mendekati cucu angkatnya ini yang sedang keletihan kerana baru sahaja mengangkat baldi yang berisi air.

"Wahai cucu atuk, bagaimana sekarang? "

"Berjayakah?" Tanya atuk berturut-turut.

"Saya tidak berjaya." Abang Has menjawab dengan rasa kecewa.

"Jangan terlalu kecewa Has...ada perkara yang lebih besar untuk atuk sampaikan kepada Has."kata atuk.

"Apa maksud atuk?" Tanya Abang Has.

"Cuba kamu perhatikan baldi itu, apa yang kamu nampak?" Atuk mula bertanya kembali.

"Tidak ada apa-apa pun?" Abang Has kehairanan.

"Cuba tengok sekali lagi?" Pertanyaan atuk berulang.

"Baru saya perasan sebelum ini baldi itu kotor, tapi sekarang telah bersih." Jawab Abang Has.

"Soalan seterusnya, apa yang kamu perasan sepanjang perjalanan kamu berulang alik mengambil air." Tanya atuk.

"Pada mulanya saya dapati jalan yang saya lalui itu nampak usang kerana di kiri dan kanannya hanya ada ranting-ranting kering dan pokok-pokok kering. Namun, lama-kelamaan, saya dapati jalan itu semakin ceria kerana ada rumput-rumput, pokok-pokok bunga dan cendawan mula tumbuh di tepi jalan. Malahan, laluan yang sering saya gunakan itu semakin bersih." Jelas Abang Has.

Atuk tersenyum.

"Has ingat lagi soalan Has kepada atuk minggu lepas?" Soal atuk lagi.

"Ya, ingat." Jawapan Abang Has seringkas mungkin.

"Jawapan yang kamu tanya ada pada baldi tersebut." Atuk memberi jawapan.

"Saya tidak faham lah atuk." Abang Has agak terpinga-pinga.

"Sebelum atuk jelaskan, ini hadiah atuk kepada kamu di atas kesungguhan dan kerajinan kamu." Orang tua itu mengeluarkan sekeping duit kertas yang bernilai RM50 daripada kocek sebelah kanan dan diserahkan kepada cucu angkatnya ini.

  Abang Has yang tadinya kelihatan bermuram durja bertukar wajah menjadi ceria serta merta.

Intai-intaikan.....

Terdapat beberapa perkara yang cuba disampaikan oleh orang tua itu iaitu baldi yang berlubang disangkakan tidak berguna tetapi sebenarnya baldi itu telah berjasa. Tanpa disedari oleh Abang Has, air yang diambil daripada telaga itu telah membersihkan baldi yang asalnya kotor.

Yang keduanya, jalan yang yang dilalui oleh Abang Has sepanjang menjalankan tugasan mengangkat air itu telah bertukar menjadi bersih dan ceria. Ini kerana air yang keluar dari baldi itu secara tidak langsung telah menyiram kiri dan kanan jalan. Lantaran itu, tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan boleh tumbuh dengan subur.

Begitu jugalah dengan bacaan Al-Quran yang dilakukan setiap hari. Meskipun kita tidak memahami sepenuh maksud kandungannya, tetapi dengan bacaan Al-Quran yang dilakukan secara istiqamah dapat menyucikan jiwa kita yang kotor dan hitam.

Selain itu, membaca Al-Quran merupakan amalan kebaikan yang bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada kita tetapi juga kepada orang lain di sekeliling kita. Hal ini kerana Allah SWT sedia menurunkan rahmat kepada hambaNya yang sering melakukan ketaatan. Marilah kita membaca Al-Quran setiap hari di samping mengekalkan amalan menuntut ilmu untuk memahami dan menghayati isi kandungannya......

1 comment:

  1. Bang Haz style datuk tu mendidik mcm style2 Wali la..hu hu best2..

    ReplyDelete