Wednesday 16 April 2014

Jerung Yang Dicari

Sedang Abang Has termenung pagi tadi tatkala tersedar dari mimpi, Abang Has teringat satu dokumentari tentang sistem perikanan di Jepun. Orang Jepun memang suka makan ikan segar. Sampai satu masa bekalan ikan segar menjadi kurang dek kerana terlalu banyak permintaan dari pasaran Jepun. Maka nelayan Jepun mula meluaskan kawasan tangkapan ke laut dalam. Kapal menjadi semakin besar dan masa pelayaran menjadi semakin lama sehingga berhari-hari di lautan.

Namun masalah timbul bila ikan yang tiba di darat tidak segar seperti selalu.Orang Jepun tak suka makan ikan yang tidak segar. Lalu nelayan mula menyediakan tong ais yang banyak di perut kapal mereka agar ikan yang diperolehi dapat dibekukan sehingga sampai di darat.

Tapi jangkaan mereka meleset, orang Jepun tidak mahu ikan yang dibekukan tapi mereka mahu ikan segar. Akhirnya sang nelayan mula menyediakan sebuah kolam yang besar di dalam kapal mereka untuk memastikan ikan yang ditangkap kekal hidup sehingga tiba di darat.

Dan nelayan berjaya tiba di darat dengan tangkapan yang masih hidup untuk dijual kepada orang Jepun. Namun orang Jepun merungut kerana ikan yang diperolehi tidak sesegar ikan yang aktif di dalam laut. Ikan-ikan yang ditangkap itu hanya berdiam diri di dalam kolam dan itu menyebabkan rasanya dagingnya menjadi kurang segar.

Setelah segalanya menemui jalan buntu, tiba-tiba timbul idea untuk meletakkan ikan jerung kecil di dalam kolam tersebut. Walaupun ada beberapa ekor ikan di makan oleh jerung itu, tapi semua ikan yang lain berjaya sampai di darat dalam keadaan yang masih aktif kerana sentiasa berlari menyelamatkan diri dari dimakan jerung.

Orang Jepun juga sudah tidak merungut lagi kerana ikan yang diperolehi mereka segar sentiasa.

Dan Abang Has mula berfikir, kehidupan kita juga begitu. Kalau kita tiada cabaran masakan kita akan jadi orang yang berkualiti seperti mana ikan-ikan itu tadi. Jadi di mana jerung kita? Abang Has mahukan jerung di dalam kehidupan Abang Has agar perjalanan hidup ini menjadi semakin baik dan berkualiti. Janganlah kita memilih kehidupan yang terpisah dari sebarang cabaran.Kita mungkin akan jadi lesu dan minda kita tidak berkembang. Carilah cabaran yang mampu membina kehidupan kita sehingga mencapai satu tahap yang membanggakan. Abang Has nak cari jerung untuk hidup Abang Has ni? Bagaimana pula dengan anda?

No comments:

Post a Comment