Sunday 17 November 2013

Rahsia Di Sebalik Seorang Insan Kerdil Bergelar Abang Has.....

Assalamualaikum warahmarullahhi wa barakatuh....

Abang Has...
Tidak terlintas di dalam kepala Abang Has untuk terus memakai nama ini. Abang Has sendiri dikurniakan nama yang cukup unik pada tahun 80an dulu tatkala kedua ibubapa Abang Has sebulat suara menamakan bayi mereka ini Hasifi.

Hasifi ini satu nama yang banyak memberikan Abang Has pengetahuan yang tak mungkin diperolehi dari sistem pembelajaran yang ada di sekolah ini.Semasa bersekolah di SRK Batu 4 dulu,Cikgu Ibrahim yang mengajar Alam & Manusia bertanya seisi kelas apa makna nama masing-masing.Sebahagian besar rakan kelas Abang Has mampu menjawab dengan baik makna nama-nama mereka.Mungkin kerana mereka bersekolah agama.Sudah menjadi kebiasaan masa tu, setiap ibubapa mahukan anak mereka cukup pengetahuan sam ada ilmu duniawi di sekolah kebangsaan atau ilmu ukhrawi di sekolah agama.Tapi Abang Has dan beberapa rakan lain tidak berkesempatan merasai kehidupan bersekolah agama seperti rakan yang lain. Lalu Cikgu Ibrahim lalu bertanyakan nama Abang Has lalu dia bercerita.

"Orang termiskin yang aku ketahui adalah orang yang tidak mempunyai apa-apa kecuali wang.Kata John D.Rockefeller",kata Cikgu Ibrahim.
"Kebanggaan kita yang terbesar adalah bukan tidak pernah gagal, tetapi bangkit kembali setiap kali kita jatuh. Kata Confusius", sambung Cikgu Ibrahim lagi.
"Sedikit orang kaya yang memiliki harta. Kebanyakan harta yang memiliki mereka. Kata Robert G. Ingersoll",ujar Cikgu Ibrahim."Semua kata-kata ini diucapkan oleh orang-orang yang bijaksana pada zaman mereka.Dan makna nama kamu itu Hasifi, ialah bijaksana.Cikgu harap kamu menjadi seorang yang bijak sana bila besar nanti", kata-kata itu sedikit sebanyak menyuntik semangat Abang Has untuk lebih tekun belajar.Itulah salah satu pendorong Abang Has peroleh 4A dalam UPSR dulu(Dulu UPSR 4 subjek je...)

Bila dapat keputusan baik, Abang Has dapat tawaran belajar di sekolah agama terkemuka di Lembah Klang ketika itu iaitu SMAKL. Bayangkanlah di antara semua yang memulakan persekolahan di tingkatan satu tu, hanya Abang Has sahaja yang tak ada asas Bahasa Arab berbanding rakan-rakan lain yang sejak dulu belajar Bahasa Arab di sekolah rendah.Apa lagi,hari pertama dah ternganga di dalam kelas tatkala guru memasuki kelas."Kaifa halukum?" "Soba alkhair?"  "Na'am!" "Syukran".....

Itu adalah perkataan-perkataan baru bagi Abang Has sedangkan rakan-rakan lain menjawab semua tu umpama segalanya ada di hujung jari mereka."Ana bikhair, Alhamdulillah.."  "Sobah Annur" "Lak" " Affuan"......
Sedikit demi sedikit Abang Has mula menguasai kata-kata asas Bahasa Arab itu.Dalam satu sesi suaikenal, sekali lagi Abang Has berdepan dengan pertanyaan maksud nama empunya diri oleh Ustazah Nasriah. Kali ini Abang Has menjawab dengan penuh yakin iaitu bijaksana. Tiba-tiba Ustazah Nasriah berkata" Hasifi ini banyak maknanya.Bahasa Arab ini mempunyai banyak perkataan yang seakan-akan sama bunyinya.Hasifi tu selain bermakna bijaksana, ia juga boleh menjadi kekotoran atau juga berhemat.Kenapa ustazah mahu kamu semua tahu makna nama kamu? Sebab ustazah nak kamu mengharungi kehidupan kamu dengan membawa nama kamu ini.Jadi mulai sekarang kamu kena pilih makna yang mana bagi nama kamu itu yang kamu nak bawa sebagai matlamat hidup kamu sampai bila-bila".

Kata-kata Ustazah Nasriah tu banyak membentuk peribadi Abang Has kini.Dalam banyak-banyak makna yang Abang Has perolehi untuk nama Hasifi tu, Abang Has memilih untuk memikul erti 'kemaafanku' sebagai satu amanah dalam kehidupan Abang Has.Alhamdulillah, bermula dengan kesukaran untuk memaafi seseorang, kini Abang Has mampu menjadikan sifat pemaaf ini sebagai satu motivasi untuk mengharungi cabaran dan rintangan dalam kehidupan Abang Has sekarang....

Untuk semua kenalan Abang Has,walau macam mana pun anggapan,pandangan mahupun tindakan negatif yang telah berlaku untuk diri Abang Has ini, Abang Has maafkan seikhlas hati tanpa menyisipkan walau secebis dendam dalam hati Abang Has.

KENAPA KITA BERSUSAH-PAYAH MENCARI KESILAPAN SESAMA YANG AKHIRNYA AKAN MEMUTUSKAN HUBUNGAN KITA SEDANGKAN PERKARA YANG LEBIH BAIK KITA BOLEH LAKUKAN IALAH MENCARI JALAN DAN CARA BAGAIMANA UNTUK MENGEKALKAN SILATURRAHIM YANG TERJALIN INI SAMPAI BILA-BILA........




No comments:

Post a Comment