Wednesday 26 March 2014

PEKAK DEMI MENCAPAI KEJAYAAN...

Dalam meniti arus cabaran kehidupan ini , Abang Has bukan dijadikan pekak mahupun dipekakkan oleh sesiapa tetapi Abang Has sendiri yang memekakkan diri sebaik mungkin. Kerana untuk mencapai matlamat Abang Has yang sangat-sangat tinggi itu, Abang Has perlu mengelakkan diri dari dipengaruhi unsur-unsur negatif yang boleh menjatuhkan semangat .....

Pengajaran yang diperolehi dari cerita sang kodok satu ketika dulu.....
Begini ceritanya.... Terdapat segerombolan kodok yang berpusu-pusu melompat menuju ke satu tempat penghijrahan. Ketika dalam perjalanan dua ekor kodok terperosok ke dalam sebuah lubang yang amat dalam dan tebingnya yang licin....

Kedua-duanya cuba melompat memanjat disegenap tebing lubang tersebut menuju cahaya di permukaan lubang tersebut namun gagal mencapai puncak lubang tersebut.Kodok-kodok lain mula menghampiri lubang tersebut dan mereka melaungkan kepada keduanya dengan kata-kata berikut " Tak payah panjat lagi.Lebih baik mati sahaja". Kesemua kodok-kodok yang lain melaungkan ungkapan yang sama setiap kali kedua-dua kodok itu berusaha memanjat tebing lubang itu. Akhirnya seekor kodok di dalam lubang itu berputus asa dan melepaskan impiannya begitu sahaja sehingga sang kodok itu mulai jatuh lebih dalam ke bawah lubang tersebut dan hayatnya habis begitu sahaja.

Namun kodok yang satu lagi tetap terus melompat-lompat mendaki tebing lubang itu walaupun kesemua kodok di permukaan lubang itu melaungkan ungkapan yang tajam itu. Akhirnya si kodok itu berjaya juga memaut ke permukaan lubang itu dan keluarlah ia dari kesengsaraan. Ketika itu bertanyalah sekalian kodok kepada si kodok yang berjaya itu kenapa masih terus berusaha sedangkan yang seekor lagi dengan mudah menyerah kalah. Namun si kodok yang berjaya itu tidak terus menjawab tapi cuma memberi tumpuan sepenuhnya kepada bibir kodok yang sedang bertanya itu. Maka dapatlah ia fahami melalui gerakan mulut itu lalu sang kodok itu mencapai sebatang ranting lalu menulis di atas tanah " Walaupun aku pekak, tapi aku dapat rasakan kata-kata semangat yang kalian ucapkan untuk aku yang berada dalam kesusahan tadi. Aku tak mahu mensia-siakan laungan semangat yang kalian beri pada ku tadi . Maka aku berusaha bersungguh-sungguh mendaki lubang tersebut kerana aku telah berjanji kepada diriku untuk ucapkan terima kasih kepada kalian bila aku selamat nanti sebagai tanda penghargaan dari ku"

Sebenarnya Abang Has tahu apa yang hendak dikhabarkan oleh cerita kodok tu kepada Abang Has. Sesungguhnya jika semua cabaran dan halangan yang kita hadapi ketika sedang mendaki ke puncak kejayaan kita tukarkan ia menjadi satu dorongan buat kita, ia pasti akan menaikkan semangat kita dan itulah yang Abang Has lakukan kini demi mengejar cita-cita yang suci lagi murni itu.....


No comments:

Post a Comment