Wednesday 4 December 2013

Petang menyentuh hati abang........

Siang tadi abang ada urusan di sebuah sekolah di Gombak. Selesai urusan dengan di sana, abang terus ke kereta untuk pulang ke pejabat di Bukit jalil. Tiba-tiba cermin kereta abang diketuk oleh seorang anak remaja dan bertanya 'Pak Cik, nak beli buah jambu batu potong? Ada dua bungkus, last.'(Dia panggil aku pakcik?) Pada mulanya abang teragak-agak untuk melayan anak remaja ini, tetapi hati kecil abang menyuruh abang untuk melihat barangan yang dijual anak ini, dan memastikan yang anak ini jujur dalam menjalankan urusannya bila dia menyebut 'tinggal dua bungkus, last.'

Abang keluar dari kereta dan mengikuti anak ini ke tempat dia meletak buah jambu potongnya di bawah pokok di hadapan sekolah tu. Memang betul tinggal dua bungkus plastik jambu, dan anak ini bercakap benar. Terdapat dua orang lagi sedang menunggu di bawah pokok, seorang berumur lingkungan 11 atau 12 tahun dan seorang lagi sekitar 5 tahun. Abang mengambil kesempatan untuk berbual dengan anak-anak ini.

'Tinggal kat mana?' tanya abang. 'Kami duduk di Batu 15,' jawab yang tua. Jaraknya dalam 5 hingga 6 km, dan dengan membawa tong berisi barangan setiap sejauh itu memang amat mencabar.

'Ayah tak datang ambik?' selidik abang lagi. 'Ayah tak ada kenderaan. Ayah baru dapat kerja jadi jaga kat kilang,' jawabnya lagi.

'Yang dua orang ni adik ke?' tanya abang lanjut. 'Yang dua ni sepupu saya. Mereka tinggal dengan kami. Ayah mereka dah meninggal sebab penyakit lelah,' jawab yang paling tua. Tersentak abang mendengarnya. Dua anak yatim kecil ini terpaksa menumpang di rumah bapa saudaranya yang kerja pun ala kadar sahaja, di tengah bandar yang serba mahal ini.

Abang mengambil kedua-dua bungkus jambu dan membayarnya. Jelas kegembiraan terpancar di wajah mereka kerana berjaya menghabiskan jualan mereka petang itu. Abang ambil lagi 2 not RM10 dan memberinya kepada yang paling tua yang pada mulanya berkeras tidak mahu menerima pemberian abang. 'Ini untuk belanja sekolah esok, dan untuk yang dua ni jugak. Mereka anak yatim,' ujar abang.

Anak ini tunduk dan mencium tangan abang, sementara senyuman anak paling kecil yang berumur 5 tahun begitu memberi kesan pada hati abang, mengingatkan abang pada anak abang yang sebaya, Nurfarisya......kerana itulah di antara senyuman paling 'pure' yang abang pernah lihat. Wajah 'innocent' yang belum tahu apa-apa, tapi telah mula merasai pahit getir satu kehidupan.

Abang kembali masuk ke kereta, dan terasa ada air mata tumpah semasa abang memandu balik ke pejabat. Dan sepanjang perjalanan, abang teringat kembali jalan sepanjang Surabaya yang abang lalui untuk ke warung Wak Ji dengan berjalan kaki setiap hari, dan jeruk kelubi atau kuih-kuih yang hasil jualannya abang kutip setiap petang selepas habis kerja. Itu lebih setahun dulu, tetapi untuk melihat perkara yang sama sekarang di negeri 'maju' ini agak menyesakkan dada ini. Alhamdulillah, keperitan hidup ini memberi abang sedikit kesedaran untuk memahami kesusahan orang lain.....

No comments:

Post a Comment