Monday 26 August 2013

MASIH ADA SIRNA BUAT SEMUA....

Kalau dulu Abang Has sering menjadi rujukan dan tukang mengingatkan adik-adik melalui kemudahan jalur lebar ni,tapi sekarang Abang Has agak jarang dapat menatapi skrin laptop Abg Has ni. Sudah hampir setahun Abang Has berkecimpung dalam bidang perniagaan ini menyebabkan masa Abang Has dipenuhi dengan tuntutan tugasan yang melibatkan perniagaan.

Awalnya dulu selepas menyelinap keluar dari industri kejurulatihan dan motivasi,Abang Has bertemu dengan rakan lama yang sedang mengusahakan sebuah restoran.Kerana melihatnya menghadapi kesukaran mendapatkan seorang pembancuh air di restorannya,Abang Has menawarkan diri untuk bekerja dengannya sebagai pembancuh air.Abang Has berjaya meyakinkannya bahawa kemahiran Abang Has dalam menyediakan air di restorannya pasti terjamin walaupun sebenarnya Abang Has tak pernah tahu mahupun berpengalaman dalam kerja membuat air ini.Maka malam sebelum memulakan tugas tu,Abang Has terkotak-katik melayari internet untuk mempelajari cara membuat air.
Abang Has bangga dengan teori yang Abang Has pegang selama ini, "Bercakap besar itu memotivasikan diri kita".Ya! Dalam satu malam sahaja Abang Has berjaya menguasai kemahiran membuat air.Itupun kerana keinginan yang tinggi dalam diri untuk membuktikan kata-kata Abang Has pada awalnya bukan sekadar cakap besar.Apa taknya,selama 2 bulan menjadi pembancuh air di restoran tersebut,teh tarik dan teh o ais Abang Has menjadi kegilaan pengunjung.Katanya rasa air yang kaw ni tak lari.Tetap sama walaupun datang berkali-kali.

Itu kata pelanggan tetap yang datang ke situlah.Dan merekalah kawan-kawan Abang Has yang ada ketika itu.Tapi bukan semua tu yang menjadi fokus Abang Has selama berada di situ tapi ilmu-ilmu baru yang Abang Has peroleh ketika berada di situ.Rupanya perkara yang biasa kita lihat tidak semudah melakukannya.Bagaimana nak membasuh pinggan mangkuk dan bekas minuman yang banyak dalam masa yang singkat tapi bersih dan terhindar dari kuman?

Itu belum lagi teknik mengingat pesanan dari 4 meja serentak.Kalau satu meja 4 orang, maknanya 12 minuman Abang Has kena sediakan dalam masa yang sama.Tapi latihan yang berulang kali ini membuahkan hasil apabila teknik mengingat dan penyediaan minuman ini dapat diselesaikan dengan cukup sempurna disamping mengekalkan kualiti minuman tersebut.

Satu lagi ilmu berguna yang Abg Has dapat ialah macam mana nak mengawal stok dan menjimatkan kos tanpa menjejaskan kualiti rasa dan penampilan minuman yang Abang Has sediakan.Cakaplah saja nak air apa semua Abang Has dah tahu cara dan teknik nak buat dengan sedap.Air buah, air buah campuran, air teh, kopi, nescafe, ali cafe, tongkat ali, salbat, sirap bandung, bandung selasih, ABC, lai chi kang, cendol, float, ice-blended.....cakaplah apa saja pasti Abang Has cemerlang menyediakannya.
Setelah dirasakan restoran tersebut mula dikenali pelanggan,Abang Has cadangkan untuk menambah pekerja bagi menampung tugas yang semakin berlambak.Namun sebenarnya Abang Has cuma mahu menurunkan ilmu yang telah dipelajari ini kepada orang lain secepat mungkin.Hasilnya,ilmu yang pada mulanya dipelajari hampir dua bulan itu dapat dikuasai oleh pekerja baru dalam masa 3 hari sahaja.Dan setelah Abang Has berpuas hati,Abang Has akhirnya meminta izin dari pemilik restoran untuk mengundur diri dari persada penyediaan kulinari ini.Walaupun pada awalnya dia agak keberatan melepaskan, tapi kata-kata semangat yang diberikan kepadanya sedikit sebanyak meyakinkannya untuk meneruskan kejayaan yang Abang Has capaikan.

Kini Abang Has kembali mengembara mencari peluang dalam hidup menimba ilmu kehidupan yang baru untuk diri sendiri. Ketika pengembaraan semakin sukar kerana kekangan wang ringgit, pada satu pertemuan yang tak diduga,timbul satu peluang baru untuk mendapatkan lebih banyak ilmu. Ketika bersinggah di sebuah restoran yang terdapat seorang kenalan menjalankan perniagaan kepak ayam madu, secara sambil lewa Abang Has dipinta menghulur bantuan kepadanya.Namun apakan daya Abang Has bukan anak raja mahupun seorang dari golongan berada.Lalu Abang Has mencadangkan untuk sama-sama menjalankan perniagaan yang hampir 8 tahun diusahakan itu.Tujuannya adalah untuk Abang Has kenalpasti di mana kelemahan mahupun kesilapan dalam pengurusan perniagaannya walaupun perniagaannya boleh dikategorikan sebagai telah matang.
Bila diamati keseluruhan perniagaannya pada seminggu yang pertama,banyak peningkatan dan kemajuan yang telah dicapai oleh rakan Abang Has itu sepanjang perniagaannya di Semenanjung Malaysia ini.Maklumlah orang kampung dari pedalaman Sabah ini boleh berbangga kerana walaupun berstatus penjaja tapi beliau sudah ada 3 buah van,sebuah pejabat yang lengkap dengan komputer,internet dan printer, beberapa peti sejuk beku berkualiti dan menyara beberapa pekerja yang berasal dari kampungnya.Apa lagi yang perlu dibantu?

Memang perlu dibantu.Abang Has perlu bantu beliau menghilangkan beban hutang yang ditanggung agar dia boleh menghirup udara yang segar dan tenang seperti Abang Has.Ya,memang beginilah kehidupan Abang Has selama ini.Mempunyai sebuah kereta merangkap kediaman rasmi Abang Has.Tiada menanggung hutang dalam apa jua bentuk (Mahupun hutang budi...hehehehe) dan bekerja untuk sesiapa sahaja bila mula terasa kehidupan yang tenang hampir ke penghujungnya.Tetapi kehidupan seperti inilah yang membuatkan Abang Has sentiasa berada dalam keseronokan.Apa taknya,tak ada langsung perasaan-perasaan negatif seperti risau,takut,sedih mahupun kecewa yang wujud dalam diri ini.Faktornya cuma satu,tidak berhutang.Tak percaya?Cubalah langsaikan semua hutang walaupun simpanan licin,nanti akan ada satu kepuasan dalam diri.Malah fikiran kita akan lebih waras memikirkan jalan untuk menjadi lebih senang.

Berbalik kepada si penjual kepak ayam madu tadi,Abang Has mula mencongak-congak kos yang diperlukan untuk menjana pendapatan yang lebih kerana hendak dijadikan modal kepada satu perancangan besar pada bulan puasa yang semakin dekat ketika itu.Maka bermulalah sesi pembelajaran dalam perniagaan kepak ayam madu ini.Bermula dari penyediaan produk seperti membersihkan ayam,membuang bulu dan kotoran buntut ayam, menyediakan rempah termasuklah memotong bawang,serai,halia dan sebagainya,mencucuk buntut ayam dan pedal menjadi sate,mengisar cili untuk dibuat sos dan yang paling utama, sesi mengemas dan mencuci alatan selepas semua produk siap untuk dijual.

Bukan itu saja, dari segi pengurusan seperti anggaran bahan mentah yang hendak dijual esok,mengira hasil jualan dan ketepatannya dengan jumlah produk yang dibekalkan,pengurusan masa untuk pemandu menghantar pekerja ke tempat berniaga dan menghantar stok ayam ke pembeli tetap yang membuat tempahan, keperluan logistik dan barang perniagaan seperti plastik dan wang tukaran,gaji harian pekerja,pembayaran sewa tapak niaga, sewa pejabat,bil air dan api, hutang-piutang dan sebagainya juga Abang Has titikberatkan.

Tapi bagi Abang Has, ilmu baru yang diperolehi sepanjang penglibatan ini amat berharga.Bukan senang nak membersihkan ayam,membuang bulu ayam dan mencucuk sate.Bukan mudah nak menyalakan arang dengan sekata,memanggang ayam supaya tiada hangus,menyusun atur kedudukan gerai agar menjadi tarikan dan yang pailing penting menjaga etika dan kemahiran berkomunikasi kepada pelanggan supaya mereka suka dengan kita dan seterusnya produk yang kita sediakan.

Alhamdulillah,sebelum tibanya bulan puasa,kewangan yang diharapkan dapat dikumpul.Lalu barulah Abang Has cadangkan idea yang telah dirangka.Mula-mula Abang Has bukakan lesen perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menggunakan beberapa nama pekerja dan kenalan-kenalan rakan Abang Has ini.Selepas itu Abang Has gunakannya untuk mendaftar sebanyak mungkin di hampir semua majlis perbandaran dan bandaraya seluruh Lembah Klang untuk mendapatkan tapak perniagaan di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa nanti.Dari 137 permohonan yang disertai,akhirnya 71 tapak berrjaya diperolehi di bazar Ramadan yang berpotensi di dalam Lembah Klang ini.Seramai 86 orang pekerja baru diambil di mana kesemuanya datang dari Tawau, Sabah iaitu kampung kelahiran rakan Abang Has itu.

Seterusnya wang dikumpulkan digunakan keseluruhannya untuk mendapatkan stok ayam dari pengusaha ayam.Sebanyak 3 tan ayam diperolehi danhampir memenuhi ruang kedai beliau.Agak terkejut baginya dan kerisauan terpancar dari wajahnya kerana inilah kali pertama dia mengendalikan perniagaan kepak ayam madu dalam skala sebesar ini.Abang Has memberi semangat padanya dan menanam keyakinan padanya dengan menjadikan tujuan asalnya untuk melangsaikan hutang sebagai motivasi.Dalam perancangan Abang Has, pada minggu kedua,jualan akan meningkat dua kali ganda kerana menjangkakan pada tempoh tersebut perniagaan pasti sudah dikenali.Tapi pada hari pertama puasa, stok jualan di semua lokasi habis sebelum pukul 6 petang.Perkara yang tak diduga itu membuatkan Abang Has mengubah strategi.Dengan margin keuntungan 120% pada hari tersebut,Abang Has tanpa membuang masa terus buat pesanan 6 tan ayam untuk kegunaan esok.Esok sekali lagi perhitungan Abang Has silap kerana stok jualan sekali lagi habis sebelum jam 6 petang di semua lokasi.

Begitulah keadaannya setiap hari pada minggu pertama dan pada hari ketujuh, jualan mencecah 15 tan sehari.Jangkaan Abang Has pada mulanya meleset sama sekali.Kalau ikut rancangan,minggu kedua jualan akan menjadi 6 tan sehari dan jumlah itu mampu membantu menyelesaikan segala hutang yang ditanggung sebelum ini.Tapi segala-galanya adalah aturan yang ditetapkanNya, sejak hari ketujuh sehingga akhir, jualan kekal 15 tan sehari.pada minggu kedua sahaja, rakan Abang Has telah pun menyelesaikan segala hutangnya.

Abang Has masih meneruskan tugas di dalam perniagaan itu.Mengemaskini sistem pengurusan, menyediakan penyata kewangan, melengkapkan perniagaan tersebut dengan laman sesawang sendiri dan melatih semua warga kerja termasuk rakan Abang Has membuat rekod.Rekod belian,jualan,rekod stok dan pulangan.Dan pada malam terakhir Ramadan tahun ini, Abang Has menyatakan hasrat untuk berhenti kerana tugas Abang Has telah selesai dan matlamat untuk membantu beliau telah tercapai.Sebelum Abang Has melangkah pergi,beliau menghulurkan sepucuk sampul.Katanya hadiah dari seorang kawan.

Ketika memandu tanpa arah tuju di malam raya itu, Abang Has membuka sampul tersebut.Beberapa not RM100 berjumlah RM3000 tersusun rapi di dalamnya.Alhamdulillah.Mengikut kiraan Abang Has,setelah mengambil kiran keuntungan kasar sebanyak RM200 sehari bagi setiap tempat setelah ditolak dengan kos, beliau telah memperoleh pendapatan sebanyak RM360k dalam tempoh lebih kurang 25 hari berniaga sepanjang puasa itu.dan rezeki Abang Has telah ditentukanNya seperti yang berada dalam genggaman Abang Has ketika itu.Syukur.Lalu malam raya itu Abang Has menunaikan tuntutan dulu dengan membayar zakat fitrah untuk Abang Has,anak dan bekas isteri sekaligus. Seterusnya Abang Has menghulurkan sebahagian wang itu pada anak Abang Has untuk kelengkapan rayanya.Dan Abang Has kembali seperti biasa meneruskan perjalanan mengharungi laluan yang perlu dipilih supaya dapat Abang Has menitip seberapa banyak ilmu yang berguna bagi diri dan semua yang berada di sekeliling Abang Has.